Berlindung

Semenjak dua menjak ini, aku selalu mimpi yang pelik-pelik. Entahlah pengaruh apa sampai dapat mimpi yang tak ada kena mengena dengan kehidupan seharian aku pun. Ada sekali hari tu, aku mimpi bermain bot kontrol (watde?! sik pernah-pernah teringin nak main), ada mimpi macam drama Melayu, tentang seorang bapa tunggal yang terpaksa menjaga anaknya dengan penuh kepayahan (tak kenal pun siapa watak-watak tersebut), dan lain-lain lagi mimpi.

Adoi!  -_-“

Yang paling terkini (malam/awal pagi tadi), mimpi di mana aku terpaksa tinggal di sebuah rumah kayu yang agak usang. Rumah itu ada 2 atau 3 tingkat. Tapi aku duduk di tingkat atas sekali. Tingkat bawah sekali itu kelihatan misteri, sentiasa tertutup sepanjang masa. Landlady rumah itu, nak tahu siapa? Kalau aku tak silap, yang jadi landlady aku ialah Norlia Ghani (ibu kepada Rusdi Ramli). erk!

Jadi, dalam mimpi itu, landlady aku ini rupanya seorang bomoh yang ada ilmu tertentu. Mula-mula kenal, dia kelihatan baik-baik sahaja. Tetapi pada suatu ketika, aku terlihat landlady aku ini buat benda pelik. Dia angkat banyak barang-barang yang besar dengan hanya mengapungkannya di sebelahnya (ok, mungkin ini pengaruh Wingardium Leviosa dalam Harry Potter!)

Aku mula cuak. Lepas itu, terkantoi pula pada suatu hari landlady ini datang ke rumah tersebut untuk menjenguk ‘penghuni’ di tingkat bawah sekali rumah tersebut. Ada satu makhluk. Aku pun tak tahu apa. Oh, dalam mimpi itu ada ahli keluargaku yang lain juga. Tapi ahli keluarga yang nampak signifikan dalam mimpi itu ialah adik lelakiku, Afiq.

Masa aku dah tahu ada mahluk lain di bawah rumah tu, aku ajak Afiq keluar dari rumah tu untuk balik ke rumah. (ok, ini mungkin sebab semalam Skype bersama parents, dan mereka menceritakan yang Afiq menjadi pemandu kepada pasangan pengantin baru, sepupuku, abang Agoy dan isteri).

Baru aku nak keluar dari pintu, makhluk (kaler hijau, macam ulat mulong gergasi) tu dah naik tangga nak naik ke rumahku. Aku dengan tindakan refleksi lalu memijak-mijak makhluk tersebut dan makhluk tersebut mati dengan mudahnya!

Tamat.

Well, itu antara babak dalam mimpi yang jelas dalam ingatan, yang lain-lain itu blur-blur saja.

Astaghfirullah al-‘Adzim. A’uzubillahi min asy-syaitan ar-rajim.

Mohon Perlindungan

Saja kongsikan cerita di atas sebagai muqaddimah, penambah rencah dan rasa dalam tulisan kali ini. Sebenarnya, yang lebih utama, aku nak kongsikan tentang kalimah isti’azah yang kita biasa baca dan digalakkan baca ketika nak memulakan bacaan al-Quran.

Orang beriman ini ada 2 jenis musuh – musuh jenis manusia dan musuh jenis syaitan.

Kalau kalah kepada musuh jenis manusia – tetap dapat ganjaran (kerana berjuang), kalau mati, dapat syahid.

Malangnya, kalau kalah kepada musuh jenis syaitan – berdosa dan jadi sesat (sebab ikut ajakan syaitan dan buat perkara yang Allah larang dan menentang apa yang Allah suruh)

Maka, ucapkanlah – “a’uzubillahi min asy-syaitanirrajim” (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk).

“Dan jika syaitan menggangumu dengan sesuatu godaan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sungguh Dialah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui”

(Surah Fussilat: 36)

Berlindung Daripada Apa?

Apabila kita ucapkan “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan terkutuk”, maksudnya kita nak berlindung daripada apa?

Maksudnya, supaya syaitan tidak akan mempengaruhi urusan kita dalam mengabdikan diri (taat) kepada Allah atau menghalang kita daripada melakukan apa yang Allah suruh dan menarik kita melakukan apa yang Allah larang.

“Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (yang benar dan kesilapan pada yang mereka telah perbuat)”

(Surah al-‘Araf: 200-201)

Ucapan tu mungkin nampak biasa-biasa sahaja tetapi besar kesannya kepada iman dan cerminan taqwa.

Dengan mengucapkan yang tersebut, kita mengakui kelemahan kita dalam menghadapi musuh yang tidak nampak (syaitan).

Lalu pada masa yang sama, kita yang lemah ini berada dalam keadaan MEMERLUKAN ALLAH, kerana hanya Allah yang dapat mengalahkan musuh manusia yang diciptakan oleh-Nya jua.

Lantas, dengan mengucapkannya sentiasa, ia mendekatkan si hamba yang lemah dengan Allah yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa.

(pengajaran daripada tafsir Surah al-Fatihah, Tafsir Ibn Kathir)

Penutup

Mimpi itu mainan tidur. Don’t take it seriously, aku pun tak anggap apa-apa daripada mimpi. Mungkin saja mimpi-mimpi aku yang ala-ala drama Melayu itu tercetus akibat keinginan nak buat filem/drama/tulis novel/skrip suatu ketika dahulu. 😛

Mimpi orang-orang soleh sahaja yang benar. Atau mimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. sebab syaitan tak dapat menyerupai Rasulullah s.a.w.

Seperkara lagi, janganlah ucap isti’azah ketika tengok cerita hantu atau pada waktu malam sahaja (iyalah, orang Melayu kan biasa takut malam-malam), tapi kita perlu mohon perlindungan daripada pengaruh syaitan yang boleh memesongkan iman kita dan menjauhkan kita daripada Allah s.w.t. Na’uzubilllah min zalik!

Ingatlah pada janji Iblis kepada Allah,

“Ia (Iblis) berkata, ‘Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.

Kecuali,  hamba-hamba-Mu yang ikhlas (terpilih antara mereka)”

(Surah al-Hijr: 39-40)

Allahu’alam.

Advertisements

Hidup Betul-betul

Pendek saja postku pada kali ini. Sebagai respon atau peringatan buat diri kenapa aku (dan kita semua) perlu pegang islam betul-betul, selepas beberapa peristiwa yang berlaku di sekelilingku baru-baru ini.

Kebanyakan daripada kita, lahir-lahir saja dah islam. Kita buat apa islam suruh, solat, zakat, puasa, buat baik kepada ibu bapa, kepada orang lain dsb. Alhamdulillah. Semua itu kita belajar melalui sistem pendidikan di sekolah, sama ada dalam mata pelajaran Pendidikan Islam mahupun kelas tambahan di sebelah petang yang popular dengan nama kelas fardhu ‘ain.

Kita juga dihantar belajar mengaji (al-Quran). Berlumba-lumba antara kawan-kawan, siapa khatam dahulu. Siapa dapat join majlis khatam al-Quran bila ada majlis kahwin saudara-mara dalam masa terdekat. Kalau anak staf Petronas macam aku dan adik-adik, kebolehan membaca al-Quran umpama ‘pelaburan’, setiap tahun masuk pertandingan tadarus al-Quran; persaingan tak banyak, hadiah pun lumayan, masuk pertandingan untuk dapat duit (maaf, mindset kanak-kanak).

‘Idkhulu fi Sillmi Kaffah’

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhan (kaffah) dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu”

(Surah al-Baqarah: 208)

Walaupun kita lahir-lahir dah islam, aku rasa kita tidak mempunyai pandangan atau kefahaman yang menyeluruh terhadap Allah dan apa yang Dia perintahkan. Islam kita hanya pada ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat tetapi pernahkah kita diajar secara mendalam kupasan kalimah syahadah yang merupakan komponen no. 1 dalam rukun islam?

Bagi ramai orang; cukuplah aku solat, aku puasa, aku bayar zakat, kalau ada duit aku pergi haji, maka sempurna sudah islamku. Begitukah?

Banyak lagi tuntutan lain yang terangkum dalam tuntutan kalimah ‘laa ilaha illa Allah, Muhamad ar-rasulullah’.

Beberapa Peristiwa

Seperti yang aku katakan, post ini adalah respon untuk beberapa peristiwa yang aku rasa berpunca dari akar masalah yang sama, orang islam tidak mendapat pendidikan islam yang sebenar dan orang bukan islam pun tidak mampu melihat islam dengan pandangan yang benar. Di sini, suka untuk aku salahkan pihak berautoriti yang tidak tegas nak amalkan islam (kalau bukan islam, lain cerita, masalahnya yang dah sah-sah megaku islam!)

1) Isu homoseksualiti (seksualiti merdeka) yang aku postkan di Facebook telah menjadi ruang perdebatan panas tentang rasional mengapa islam menolak homoseksualiti dan persoalan yang menjadi cabaran buat aku (obviously), bagaimana cara terbaik untuk aku jelaskan?

2) Seorang insan yang baru confess depan muka aku bahawa beliau tidak mahu ikut program agama yang aku ajak sebab rasa inferior dengan orang lain (down sebab ada orang lain kelihatan lebih ‘berilmu’)?

Pertama sekali, harus betulkan niat, kita pergi program agama untuk tambah kefahaman tentang islam agar kita jadi lebih dekat dengan Allah, bukan nak bersaing dapat markah pengetahuan islam paling tinggi. Ini melibatkan isu ikhlas, isu ‘penyerahan’ apa yang kita buat sepatutnya kerana Allah. Kita nak tambah ilmu islam bukan nak impress orang lain, tetapi sebab Allah suruh.

Bagaimana kita view Allah? Apakah kita terlalu obses dengan pandangan manusia terhadap diri kita hingga tak fikir langsung bagaimana Allah lihat ‘amal kita? Aku rasa mengelak untuk ke majlis ilmu atas sebab yang disebutkan di atas adalah sangat tak boleh diterima. Cabaran buat diri aku, bagaimana aku boleh bantu betulkan paradigma ini?

3) Isu ‘Kelab Isteri Taat’. Aku baru menonton satu video di Youtube, liputan yang dibuat oleh media tertentu di luar negara tentang kelab ini yang ada pandangan yang sangat “menakutkan” bagaimana seorang isteri perlu taat kepada suami. (tak sampai hati nak post video tu, Google lah kalau nak tahu lanjut, kalau nak drop komen di post ini, dipersilakan). Ini juga boleh membawa silap faham terhadap islam yang sebenar.

Silap Faham

Jadi, ketiga-tiga peristiwa ini aku rasa berpunca daripada silap faham akan konsep-konsep yang diajarkan oleh islam. Sama ada non-muslim tidak mampu melihat keindahan islam kerana kita gagal mempamerkannya secara besar-besaran atau orang islam sendiri yang lahir-lahir islam kurang inisiatif untuk tambahkan ilmu (sebab dah islam dari lahir).

Sekali lagi, ini aku beratkan di atas bahu pihak berautoriti yang melaksanakan islam secra ala kadar sahaja. Orang islam faham atau tak faham islam; mereka tidak kisah. Orang non-muslim salah faham tentang islam, mereka mungkin kata biarkanlah.

Tapi sekali lagi, sungguh tidak proaktif jika kita hanya nak salahkan orang lain tetapi bukan diri ini.

Bermasyarakat

Kita hidup bermasyarakat. Kita tidak boleh lari daripada menjadi sebahagian daripada masyarakat. Bagaimana kita berusaha untuk memperbaiki diri kita, begitu juga kita perlu terlibat dalam usaha memperbaiki masyarakat. Hal ini kerana, kita perlu susasana yang kondusif untuk istiqamah dalam perubahan diri yang kita buat.

Jadi, seruan kepada diri ini dan semua, sama-sama kita perbaiki diri, tambah ilmu tentang islam sama ada dengan menyertai usrah, dengar ceramah, ikut perbincangan, membaca, bertanya, dsb agar seterusnya kita dapat menjadi umpama nukleus yang boleh memancarkan manfaat kepada lebih ramai orang untuk kembali kepada Allah.

Ini termasuklah juga membuat perkara seperti mengundi parti islam agar orang-orang yang serius dan ikhlas nak laksanakan islam dapat menyediakan instrumen untuk mendapatkan kefahaman islam yang sebenar menjadi available di negara kita agar umat islam dan bukan islam tidak salah faham tentang islam.

Usah berkira dengan duit yang terpaksa kita keluarkan (e.g.. untuk pergi ke majlis ilmu), usah rasa membazir tenaga & masa untuk buat kerja-kerja yang Allah suruh dan suka. Betulkan niat dan yakin dengan janji Allah bahawa segala yang diinfaqkan ke jalan-Nya akan diberi sebaik-baik ganjaran (e.g. syurga).

Penutup

Ini adalah post yang aku rasa agak segera aku tulis (less than 1 hour), jadi poin-poin yang aku sampaikan mungkin tidak cukup dimurnikan. Tapi aku harap, kalian dapat mengutip tema utama yang cuba aku sampaikan, ‘aslih nafsak, wa yad’u ghairak’ yang bermaksud:

Perbaikilah diri dan serulah orang lain.

Kepada Allah kita memohon petunjuk dan kekuatan.

Allahu’alam.

FUIYO 2011!

InsyaAllah, my last winter in the UK. 🙂

Register here. One of the speakers will be Ustaz Zamri Mantop! (Mari Mengaji TV9). 🙂

I initially planned (actually I’ve already registered) to attend Akademi Al-Fatih PUISI, but changed my mind last night. Most probably because the venue for FUIYO is nearer to Bath! It’s in Devon. 😀

InsyaAllah will come as one of the facilitators. The last time I went to FUIYO in 2009, I was in the TeamDapur FUIYO. Good times, good times. 😉

TeamDapur FUIYO 2009 (from left) Wan, Kak Fuzah, Kak Amni, Kak Dayang, Atiqah, Eica, Sya

Now, lets get back to the pending assignment – STATUTORY INTERPRETATION. Fuhh.

Remember me in your prayers okay. 🙂

Allahu’alam.

Seperti Bintang

Weekend baru ini, aku “menyibukkan” diri dengan satu literature review dan juga bersama-sama housemates menebas rumput di halaman belakang dan depan rumah. Deadline bagi literature review itu pagi semalam, makanya hingga lewat malamlah aku bekerja pada hari Ahad itu. Itupun aku sambung kerja membuat referencing selepas Subuh pagi semalam.

Bangun-bangun sahaja dari tidur, seluruh bacan rasa lenguh (rasa seperti dibelasah) mungkin kerana kejutan pada otot-otot setelah melakukan kerja-kerja memotong rumput di sebelah Ahadnya. Siriesly, lepas ni aku tak akan merungut kalau pemotong rumput upahan di rumah minta bayaran yang tinggi. Penat woh potong rumput! -_-“

Satu lagi event yang menambahkan rencah dalam hidupku weekend yang baru berlalu, 1.8 cm persegi daripada luas permukaan mukaku melecur (bawah pipi). Akibat terkena percikan minyak ketika menggoreng daging burger pada petang Sabtu yang lalu. Alhamdulillah, setakat ini kelihatan semakin kering dan sembuh.

Aku tak guna plaster sebab Mama pesan jangan letak plaster, disokong oleh nasihat seorang doktor yang aku kenal. Jadi aku biarkan sahaja. Asalkan tidak berlaku apa-apa infection dan tidak bernanah, tambah doktor tersebut, jika berlaku (a’uzubillah), perlu segera berjumpa doktor. Jauh dari Dublin aku minta konsultasi perubatan percuma. 😛

Lalu setelah menghantar coursework pagi semalam, rasa lega. Tapi yang menanti kini ialah 3 literature review yang dibuat oleh rakan sekelasku yang perlu aku semak. Inilah yang dikatakan peer review. Kerjaku disemak oleh rakanku, dan aku menyemak kerja rakanku. Anonymously. Mungkin rasa sedikit unsecure sebab bukan lecturer yang semak, harap rakan-rakan yang menyemak itu lenient dan murah hati dengan markah. 😉

Eh, mana sambutan hari raya haji? Heh, tiada sambutan secara spesifik seperti kebiasaan di kampung halaman. Pagi aidiladha diisi dengan ‘menghayati’ pengorbanan dan kesusahan si pemotong rumput.

Jadi, malam tadi aku me’reward’kan diri dengan menonton satu filem Hindustan yang sangat touching.

Taare Zameen Par

Dengan ini, aku meletakkan Taare Zameen Par No.1 mengatasi filem 3 Idiots dalam senarai filem Hindustan terbaik yang pernah aku tonton. 🙂

Filem ini memberi kesedaran bahawa dalam mendidik perlu sabar, setiap individu (khususnya kanak-kanak) ada pace mereka sendiri dalam belajar, oleh itu tidak seharusnya kita melabel mahupun menengking mereka jika mereka tidak mencapai expectation kita. Perlu juga guna positve reinforcement dalam mendidik. Dalam mendidik juga, tidak boleh putus asa dengan potensi seseorang.

Dalam filem itu terdapat satu babak di mana Cikgu Nikhumb (yang dilakonkan oleh Aamir Khan) telah datang ke rumah Ishaan (watak utama, seorang kanak-kanak yang dyslexic). Semasa di rumah Ishaan, Nikhumb telah mengambil satu kotak yang bertulisan jepun di atasnya dan menyuruh ayah Ishaan membaca tulisan itu.

Ayah Ishaan mengatakan mana mungkin dia dapat membaca tulisan itu. Nikhumb terus memaksa dan memaksa. Ayah Ishaan menjadi berang dan meninggikan suara dan mengulangi bahawa dia tidak dapat membaca tulisan jepun itu. Lalu Nikhumb dengan spontan berkata, “Lihat, kamu melawan. Kamu degil dan tidak mendengar kata!”

Itulah yang dirasakan oleh Ishaan, apabila guru-guru dan ibunya menyuruh dia membaca atau membuat kerja rumah, dia ada masalah untuk melakukannya. Walaupun sudah berumur 9 tahun, tulisannya teruk, ejaannya tunggang-langgang. Dia  juga mengulang Darjah 3 selama 2 tahun. Selalu gagal dalam peperiksaannya.

Semua itu hanyalah ‘simptom’ – sesuatu yang kelihatan pada luarannya sebagai natijah kepada masalah sebenar Ishaan iaitu dyslexia. Namun orang sekeliling telah menafsirkan tingkah laku Ishaan yang “kurang berminat” terhadap pelajaran itu sebagai satu masalah sikap dan melabelkan Ishaan sebagai pemalas dan bodoh.

Seek First To Understand, Then To Be Understood

Mungkin dalam kes Ishaan, masalahnya ialah dyslexia. Tetapi tema utama iaitu kegagalan atau sikap tidak peduli dalam usaha memahami punca sesuatu permasalahan dalam diri individu yang dididik ( i.e. anak kepada ibu bapa, pelajar kepada guru, mad’u kepada daie, rakyat kepada pemimpin etc.) berlaku di setiap lapisan masyarakat – walaupun bentuk permasalahan yang dihadapkan kepada kita berbeza-beza.

Bila direfleksi, bukan jarang-jarang anggota masyarakat mahupun ahli famili kita berperwatakan seperti ibu bapa dan guru-guru Ishaan. Apabila dihadapkan dengan “individu bermasalah” seperti Ishaan, mereka (dan kita?) cenderung untuk mengambil pendekatan memarahi dan menghukum (dengan harapan individu itu berubah) tetapi hakikatnya tindakan itu tidak membantu pun  individu tersebut untuk menjadi lebih baik.

Amat kurang usaha untuk memahami apa yang menyebabkan individu itu menunjukkan simptom-simptom sikap yang tidak kita senangi – contohnya seorang anak yang suka melawan, suka mencarut, pemarah, atau seorang mad’u yang tidak berminat dengan program agama, tidak suka bercakap tentang hubungan manusia dan Tuhan, berpandagan terlalu liberal malahan sekular, dan sebagainya.

 Namun, lagi amat kurang usaha untuk membantu individu tersebut mengatasi ‘permasalahan’ mereka.

Refleksi

Kebelakangan ini banyak isu timbul di Malaysia, isu hududnya, isu menyambut Halloweennya, isu Seksualiti Merdekanya, isu Elton Johnnya – antara timbunan isu yang ‘memanaskan’ tanah air kita.

Aku seperti biasa pastinya ada pendapat dan cara fikir sendiri tentang isu tersebut. Kebanyakannya aku luahkan sahaja di status Facebookku. Entah kenapa, akhir-akhir ini aku rasa tidak pasti apakah apa yang aku lontarkan itu patut. Mungkin saja maksud aku benar tetapi cara aku melontarkannya mungkin tidak patut. Mungkin?

Instead of memberikan manfaat (seperti yang aku harapkan), mungkin aku sebenarnya mendatangkan mudharat ke atas maksud sebenar yang ingin aku sampaikan.

Antaranya, isu Elton John yang ingin membuat konsert di Genting Highland; ada sekumpulan golongan agama yang mengecam konsert itu mendesak agar konsert itu dibatalkan. Lalu ada yang memperlekehkan tindakan golongan agamawan ini tadi. Aku pula yang terasa dan tidak bersetuju dengan pandangan golongan ini tadi.

Kata mereka, Elton John kita patut hargai kerana bakat dan kualiti seninya melalui muzik. Bukan bermaksud kita menyokong homoseksual jika kita menyokong konsertnya. Kata mereka, tindakan sebahagian golongan agama ini dangkal – membuatkan orang lari dengan Islam lagi ada.

Bagi aku, aku faham dari mana para golongan agamawan ini datang dengan pandangan mereka. Tujuan penentangan mereka sebenarnya bersifat mencegah dengan kaedah ‘sad az-Zarai” (penutupan ruang salah tafsir orang ramai), agar budaya homoseksual tidak dinormalisasikan ke dalam masyarakat Malaysia khususnya Muslim. Pastinya aku bersetuju dengan pandangan ini.

Cuma ia telah membuatkan aku berfikir sendiri, begitukah pandangan mad’u kepada golongan daie? Yakni,  daie ialah kumpulan ekstrim yang ‘berasa diri bagus’ dan tidak mampu menyelami dan memahami cara fikir mad’u mereka? Jika perkara ini benar, ianya adalah satu kerugian buat da’wah islamiyah itu sendiri.

Ini yang menyebabkan aku jadi tidak sepasti dahulu, apakah aku telah mendatangkan kemudharatan kepada mesej baik yang ingin disampaikan dengan lontaran pandangan yang mungkin bernada ‘keras’ di laman sosial tatapan umum?

Sesungguhnya aku tidak tahu. 😦

Kebebasan Yang Mebataskan

Dahulu aku ingat lagi semasa mula-mula menulis blog sekitar 2006. Sungguh bahagia. Blog menjadi ruang yang sangat luas dan bebas untuk aku kongsikan pemahaman dan dapatan aku daripada peristiwa yang berlaku dalam hidupku. Aku menulis juga sebagai medium untuk ruang bertukar update dengan sahabat-sahabat di sekolah menengah kerana kami dipisahkan oleh jarak dan masa selepas tamat SPM.

Yang membaca pun kawan-kawan yang kenal siapa kita – walau apapun yang kita tulis. Mereka setuju atau tidak, boleh terima atau tidak – mereka tahu dari mana kita datang dengan pandangan kita itu. Sepelik manapun pandangan itu, mereka tidak akan menghukum kita. Aku percaya, walaupun aku telah memberikan pandangan yang salah dalam isu A, mereka tidak akan ‘menghukum’ aku dengan melabel aku sebagai seorang yang ‘tidak boleh pakai’.

Jika aku benar dalam pandanganku dalam isu B, C, D, E; mereka ambil manfaat yang ada daripadanya. Kemudian, jika aku tersalah lagi dalam isu F, mereka boleh untuk tidak bersetuju tanpa ‘meninggalkan’ aku terus. Ada yang sudi membetulkan. Semua itu sangat aku hargai. Semoga Allah mengganjari kalian dengan sebaik-baik ganjaran.

Jadi, ianya sungguh berbeza di Facebook, ramai ‘friend’ dalam friend list itu tidak sama seperti kawan-kawan yang aku maksudkan di atas. Jika aku tersalah dalam pandanganku, aku akan mendatangkan fitnah atau kemudharatan kepada mesej baik yang ingin disampaikan.

Apabila diri semakin ‘besar’ (baca: umur), semakin banyak tanggungjawab yang diberikan secara rasmi mahupun tidak rasmi kepada kita. Kita diwajibkan menyampaikan yang benar, mengajak pada kebaikan. Sekali imbas, nampak macam kerja mudah. Mungkin sekali lalu orang akan kata, mudah saja tu – tulislah di status Facebook, sharelah link, tulislah di blog, sampaikanlah dalam usrah, dll.

Nampak macam kerja mudah.

Namun, tanggungjawab yang amat berat terletak pada kesahihan apa yang kita sampaikan. Apakah dari sumber yang boleh dipercayai? Apakah selari dengan al-Quran dan sunnah?

Juga menjadi berat dalam menjaga hubungan kita dengan manusia lain. Apakah kita tidak berlaku zalim (baca: tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya)? Apakah kita telah bersifat ‘menghukum’ dan ‘melabel’ individu lain? Apakah kita telah mengumpat? Apakah kita telah menyakitkan hati orang lain dalam pendekatan kita? Lalu semua ini turut membawa kepada pelbagai penyakit hati seperti riak dan ‘ujub. Na’uzubillah min zalik!

Selari dengan itu, semakin bertambah jugalah tuntutan dan kewajipan untuk meningkatkan ilmu dan kefahaman diri. Dalam hal ini pun banyak cabarannya – nak membaca buku-buku ilmiah tidak semudah menonton filem! Tetapi inilah ‘harga’ yang perlu dibayar untuk menjadi golongan yang Allah sifatkan berjaya dalam surah ali-Imran, ayat 104:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya. “

Of course, kita boleh meninggalkan semua kesusahan ini jika kita tidak mahu berjaya pada pandangan Allah. Namun, mahukah kita untuk menjadi golongan yang tidak berjaya??

Penutup

Knowledge is Light. Itu sahaja rasanya peringatan besar dariku untuk diriku dalam entri kali ini. Jangan malas untuk tambah ilmu. Bertanggungjawab dengan apa yang diperkatakan. Semakin banyak kita cakap, semakin banyak pertanggungjawaban ke atas apa yang kita cakapkan.

“…mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan?” [Surah as-Saff: 2]

Sesungguhnya besar kemurkaan Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan!

Allahuakbar wa lillahilhamd.

Allahu’alam.

Lampu Suluhku Untukmu

Sudah kusuluhkan jalan,
tetapi kenapa kurasa kau ingat kuhanya ingin berlagak dengan lampu suluhku?
Apakah kau fikir, semua ini sebuah pertandingan?
Mungkin fikirmu, “Si empunya lampu suluh, dialah yang menang!”
Lantas kau hanya menjeling, seperti enggan kau sambut suluhanku itu.

Lampu suluh kudapatkan free, hasil ihsan insan prihatin
Banyak lagi mereka yang mengguna lampu suluh yang sama
Jangan kau sangka jalanku bahagia dengan lampu suluh ini 
Lampu suluh ini, hendak dibawa amatlah berat!
Lampu suluh untuk menerang jalan yang kelam
Agar kau tak terjatuh ke dalam lubang yang dalam
Ingin kubiarkan,
Sudah beberapa kali kulihat kau jatuh tersembam
Jika kubiarkan,
Aku takut kerana aku pasti dipersoalkan!

Patutkah kukasihan?
Patutkah kubiarkan?
Kau benar-benar menjadi ujian
Ujian tentang apa yang aku pum-pang-pum-pangkan

Kubenar berharap,
Agar kelak kudapat berikan lampu suluh yang sama padamu,
Agar engkau juga mahu dan mampu menyuluhkan jalan buat yang lain.

12.21 tengah hari,
4 November 2011,
Bath.

Bukan Kerana Mereka

Minggu lepas, aku menyebut tentang riya’ dalam satu perbualan bersama seorang rakan. Perbualan kami berkisar tentang sifat kita sebagai manusia yang suka untuk impress orang lain. Tak boleh dinafikan, tak ada manusia yang tak gembira bila dipuji. Oleh itu, manusia suka untuk bersungguh-sungguh agar apa yang diusahakan mendapat pujian atau penghargaan atau pengiktirafan orang lain.

Lalu aku mengaitkan perkara ini dengan sifat riya’. Suatu sifat yang bahaya jika ada dalam diri kita. Mungkin lebih sesuai jika kita labelkan sifat itu sebagai suatu penyakit hati yang mampu merosakkan amal, menjadikan amal kita sia-sia. Direkodkan dalam satu hadith bahawa riya’ juga merupakan satu syirik kecil!

Rakanku sepertinya agak sukar untuk menerima kata-kataku lantas bertanya, “Salahkah kalau kita nak buat parents,  atau guru-guru kita bangga dengan kejayaan kita?”

Namun, kami tidak sempat untuk menghabiskan perbualan kami berkenaan perkara ini dan aku harap agar rakanku itu tidak salah faham dengan apa yang tidak sempat aku sempurnakan.

Apa Itu Riya’?

Riya’ itu secara ringkasnya; apabila kita buat sesuatu itu, kita sebenarnya nak menunjukkan kepada orang lain amalan atau pekerjaan kita itu agar mendapat penghargaan sama ada dalam bentuk pujian mahupun material. Motif akhir kita dalam melakukan sesuatu itu semata-mata untuk impress orang lain.

Contoh mudah kita boleh riya’ ialah melalui status di Facebook. Kita boleh jadi riya’ apabila kita meletakkan status di Facebook dengan harapan agar orang meng-‘like’ status kita dan jika tiada yang ‘like’ kita jadi kecewa.

Ataupun, sebagai pelajar, kita berusaha bersungguh dalam pelajaran agar dapat markah yang cemerlang supaya kita diiktiraf oleh para pensyarah kita, “Inilah pelajar cemerlang itu!”

Jadi, mungkin saja soalan rakanku tadi valid, salahkah?

Super Kecewa

Secara asasnya, aku rasa tiada masalah jika kita ingin cemerlang agar pencapaian kita diiktiraf, agar ibu bapa kita bangga, agar kita dipandang tinggi oleh masyarakat dan sebagainya. Namun, semua niat itu perlulah disertakan sekali juga dengan pergantungan dan pengharapan kepada Allah.

Atau dalam ayat klisenya, “Buat kerana Allah.”

Tetapi, aku sendiri pernah merasakan kesukaran dalam mencari di mana titik yang menghubungkan pekerjaan duniawi yang aku perbuat (e.g. belajar, exam, cemerlang dalam exam etc) dengan “niat kerana Allah” itu tadi. Namun, setelah melihat pelbagai adegan ‘super kecewa’ manusia di depan mataku, aku jadi semakin faham apa bezanya jika seseorang itu pekerjaannya adalah ‘kerana Allah’ atau tidak.

Jika kita berasa sangat kecewa apabila usaha kita tidak membuahkan hasil yang kita harapkan, itu tandanya dalam usaha kita itu, kita lebih banyak berharap pada redha makhluk. Kita lebih kisah apa pandangan orang terhadap kita dan langsung melupakan apakah Allah suka atau tidak, Allah terima atau tidak apa yang kita perbuat atau usahakan itu.

Adakalanya sampai menagis-nangis kerana apa yang diusahakan tidak dipandang pun oleh makhluk lain.

Adakalanya sampai marah-marah  dan menyatakan kebencian jika orang lain tidak menghargai apa yang diusahakan.

Jikalau benar kita ikhlas (i.e. tidak riya’), apa pun outcome daripada apa yang kita usahakan, kita tidak begitu kisah. Setelah berusaha sehabis baik, kita meyerahkan hasilnya kepada Allah (tawakal). Dalam proses usaha itu, kita sering mohon pertolongan Allah, kita tidak meletakkan parameter berjaya atau gagal dalam usaha kita pada kebijaksanaan kita semata-mata.

Jikalau benar kita ikhlas, kita juga menitikberatkan ke’halal’an usaha kita; apakah cara yang kita gunakan untuk capai kejayaan atau sesuatu matlamat pekerjaan itu diredhai Allah atau tidak? Atau adakah kita sanggup menipu, mementingkan diri sendiri, dan menindas orang lain agar kita dapat mencapai kejayaan yang dicita-citakan?

Gembira Dengan Pujian

Jadi apakah bermaksud kita sudah riya’ jika kita gembira dengan pujian? Bagiku, ianya terpulang kepada reaksi kita terhadap pujian itu. Oleh sebab itulah kita perlu sentiasa mengembalikan pujian itu kepada Allah dengan menyebut ‘Alhamdulillah’ jika dipuji atas kejayaan kita.

Sebut bukan sekadar sebut tetapi sebut dengan penuh keimanan (yakin) bahawa kalau bukan petunjuk dari Allah, aku takkan dapat idea yang bernas untuk projek ini; kalau bukan Allah yang berikan aku kesihatan, mungkin aku tak mampu nak siapkan kerja ini, mungkin aku tak sempat nak habiskan revision; kalau bukan Allah yang berikan makanan, aku takkan ada tenaga untuk menyelesaikan tugasan ini, dsb.

Kita harus rasa rendah umpama perasaan seekor semut dengan manusia.  Semut takkan berani berlagak dengan manusia kerana manusia itu lebih besar dan boleh pijak semut itu dalam sekelip mata sahaja. (poin aku ialah, tidak merasa besar diri dengan kejayaan)

Keciknya sang semut! Jadilah kecil sepertinya terhadap Allah.

Pada masa yang sama, banyakkan istighfar, astaghfirullah al-‘adzim – ampunkan aku ya Allah yang maha Agung.

Maknakan istighfar yang kita sebut itu, dengan sebenar-benar permohonan ampun andai kita ada sedikit rasa riya’ dalam diri. Mungkin saja ada kerana memang sifat kita sebagai manusia. Namun apa yang penting, kita segera dan berulang-ulang kali memohon agar Allah ampunkan perasaan riya’  atau rasa besar diri kita itu.

Moga Terhindar Daripada Syirik!

Oleh itu, aku sangat gusar apabila mendengar perkhabaran jika seseorang itu kecewa oleh manusia. Kebahagiaan atau penderitaan dirinya dinisbahkan pada manusia yang dia rasa penting dan berharga dalam hidupnya. Jika manusia itu tidak menghargainya, dunia dirasakan seolah-olah telah kiamat baginya, hidup seakan-akan tiada makna lagi baginya.

Na’uzubillah min zalik!

Bukanlah bermaksud kita tidak boleh merasa kecewa kerana tidak logik untuk kita tidak merasa kecewa jika sesuatu yang kita tidak jangka atau tidak ingini berlaku dalam hidup kita.

Persoalannya, bagaimana reaksi kita terhadap musibah atau kekecewaan itu, malahan reaksi kita terhadap nikmat, kesenangan, dan perasaan bahagia bersama manusia; aapakah mendekatkan diri kita kepada Allah atau menjauhkan diri kita daripada Allah?

Penutup

Ada satu puisi dalam bahasa Inggeris yang dipostkan oleh kawanku di Facebook, sungguh indah jika dihayati:

“What you spend years building, others could destroy overnight.
Build anyway.
Give the best you have, and it will never be enough.
Give your best anyway.
Because in the end, it is between you and Allah SWT.
It was never between you and them anyway.”

Hidup ini, sentiasa tentang kita dan Allah. Apakah Allah redha atau sebaliknya. Moga-moga segala amalan kita tiada lain hanyalah untuk mendapatkan redha Allah semata-mata.

 

Allahu’alam.