Bukan Kerana Mereka

Minggu lepas, aku menyebut tentang riya’ dalam satu perbualan bersama seorang rakan. Perbualan kami berkisar tentang sifat kita sebagai manusia yang suka untuk impress orang lain. Tak boleh dinafikan, tak ada manusia yang tak gembira bila dipuji. Oleh itu, manusia suka untuk bersungguh-sungguh agar apa yang diusahakan mendapat pujian atau penghargaan atau pengiktirafan orang lain.

Lalu aku mengaitkan perkara ini dengan sifat riya’. Suatu sifat yang bahaya jika ada dalam diri kita. Mungkin lebih sesuai jika kita labelkan sifat itu sebagai suatu penyakit hati yang mampu merosakkan amal, menjadikan amal kita sia-sia. Direkodkan dalam satu hadith bahawa riya’ juga merupakan satu syirik kecil!

Rakanku sepertinya agak sukar untuk menerima kata-kataku lantas bertanya, “Salahkah kalau kita nak buat parents,  atau guru-guru kita bangga dengan kejayaan kita?”

Namun, kami tidak sempat untuk menghabiskan perbualan kami berkenaan perkara ini dan aku harap agar rakanku itu tidak salah faham dengan apa yang tidak sempat aku sempurnakan.

Apa Itu Riya’?

Riya’ itu secara ringkasnya; apabila kita buat sesuatu itu, kita sebenarnya nak menunjukkan kepada orang lain amalan atau pekerjaan kita itu agar mendapat penghargaan sama ada dalam bentuk pujian mahupun material. Motif akhir kita dalam melakukan sesuatu itu semata-mata untuk impress orang lain.

Contoh mudah kita boleh riya’ ialah melalui status di Facebook. Kita boleh jadi riya’ apabila kita meletakkan status di Facebook dengan harapan agar orang meng-‘like’ status kita dan jika tiada yang ‘like’ kita jadi kecewa.

Ataupun, sebagai pelajar, kita berusaha bersungguh dalam pelajaran agar dapat markah yang cemerlang supaya kita diiktiraf oleh para pensyarah kita, “Inilah pelajar cemerlang itu!”

Jadi, mungkin saja soalan rakanku tadi valid, salahkah?

Super Kecewa

Secara asasnya, aku rasa tiada masalah jika kita ingin cemerlang agar pencapaian kita diiktiraf, agar ibu bapa kita bangga, agar kita dipandang tinggi oleh masyarakat dan sebagainya. Namun, semua niat itu perlulah disertakan sekali juga dengan pergantungan dan pengharapan kepada Allah.

Atau dalam ayat klisenya, “Buat kerana Allah.”

Tetapi, aku sendiri pernah merasakan kesukaran dalam mencari di mana titik yang menghubungkan pekerjaan duniawi yang aku perbuat (e.g. belajar, exam, cemerlang dalam exam etc) dengan “niat kerana Allah” itu tadi. Namun, setelah melihat pelbagai adegan ‘super kecewa’ manusia di depan mataku, aku jadi semakin faham apa bezanya jika seseorang itu pekerjaannya adalah ‘kerana Allah’ atau tidak.

Jika kita berasa sangat kecewa apabila usaha kita tidak membuahkan hasil yang kita harapkan, itu tandanya dalam usaha kita itu, kita lebih banyak berharap pada redha makhluk. Kita lebih kisah apa pandangan orang terhadap kita dan langsung melupakan apakah Allah suka atau tidak, Allah terima atau tidak apa yang kita perbuat atau usahakan itu.

Adakalanya sampai menagis-nangis kerana apa yang diusahakan tidak dipandang pun oleh makhluk lain.

Adakalanya sampai marah-marah  dan menyatakan kebencian jika orang lain tidak menghargai apa yang diusahakan.

Jikalau benar kita ikhlas (i.e. tidak riya’), apa pun outcome daripada apa yang kita usahakan, kita tidak begitu kisah. Setelah berusaha sehabis baik, kita meyerahkan hasilnya kepada Allah (tawakal). Dalam proses usaha itu, kita sering mohon pertolongan Allah, kita tidak meletakkan parameter berjaya atau gagal dalam usaha kita pada kebijaksanaan kita semata-mata.

Jikalau benar kita ikhlas, kita juga menitikberatkan ke’halal’an usaha kita; apakah cara yang kita gunakan untuk capai kejayaan atau sesuatu matlamat pekerjaan itu diredhai Allah atau tidak? Atau adakah kita sanggup menipu, mementingkan diri sendiri, dan menindas orang lain agar kita dapat mencapai kejayaan yang dicita-citakan?

Gembira Dengan Pujian

Jadi apakah bermaksud kita sudah riya’ jika kita gembira dengan pujian? Bagiku, ianya terpulang kepada reaksi kita terhadap pujian itu. Oleh sebab itulah kita perlu sentiasa mengembalikan pujian itu kepada Allah dengan menyebut ‘Alhamdulillah’ jika dipuji atas kejayaan kita.

Sebut bukan sekadar sebut tetapi sebut dengan penuh keimanan (yakin) bahawa kalau bukan petunjuk dari Allah, aku takkan dapat idea yang bernas untuk projek ini; kalau bukan Allah yang berikan aku kesihatan, mungkin aku tak mampu nak siapkan kerja ini, mungkin aku tak sempat nak habiskan revision; kalau bukan Allah yang berikan makanan, aku takkan ada tenaga untuk menyelesaikan tugasan ini, dsb.

Kita harus rasa rendah umpama perasaan seekor semut dengan manusia.  Semut takkan berani berlagak dengan manusia kerana manusia itu lebih besar dan boleh pijak semut itu dalam sekelip mata sahaja. (poin aku ialah, tidak merasa besar diri dengan kejayaan)

Keciknya sang semut! Jadilah kecil sepertinya terhadap Allah.

Pada masa yang sama, banyakkan istighfar, astaghfirullah al-‘adzim – ampunkan aku ya Allah yang maha Agung.

Maknakan istighfar yang kita sebut itu, dengan sebenar-benar permohonan ampun andai kita ada sedikit rasa riya’ dalam diri. Mungkin saja ada kerana memang sifat kita sebagai manusia. Namun apa yang penting, kita segera dan berulang-ulang kali memohon agar Allah ampunkan perasaan riya’  atau rasa besar diri kita itu.

Moga Terhindar Daripada Syirik!

Oleh itu, aku sangat gusar apabila mendengar perkhabaran jika seseorang itu kecewa oleh manusia. Kebahagiaan atau penderitaan dirinya dinisbahkan pada manusia yang dia rasa penting dan berharga dalam hidupnya. Jika manusia itu tidak menghargainya, dunia dirasakan seolah-olah telah kiamat baginya, hidup seakan-akan tiada makna lagi baginya.

Na’uzubillah min zalik!

Bukanlah bermaksud kita tidak boleh merasa kecewa kerana tidak logik untuk kita tidak merasa kecewa jika sesuatu yang kita tidak jangka atau tidak ingini berlaku dalam hidup kita.

Persoalannya, bagaimana reaksi kita terhadap musibah atau kekecewaan itu, malahan reaksi kita terhadap nikmat, kesenangan, dan perasaan bahagia bersama manusia; aapakah mendekatkan diri kita kepada Allah atau menjauhkan diri kita daripada Allah?

Penutup

Ada satu puisi dalam bahasa Inggeris yang dipostkan oleh kawanku di Facebook, sungguh indah jika dihayati:

“What you spend years building, others could destroy overnight.
Build anyway.
Give the best you have, and it will never be enough.
Give your best anyway.
Because in the end, it is between you and Allah SWT.
It was never between you and them anyway.”

Hidup ini, sentiasa tentang kita dan Allah. Apakah Allah redha atau sebaliknya. Moga-moga segala amalan kita tiada lain hanyalah untuk mendapatkan redha Allah semata-mata.

 

Allahu’alam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s