Seperti Bintang

Weekend baru ini, aku “menyibukkan” diri dengan satu literature review dan juga bersama-sama housemates menebas rumput di halaman belakang dan depan rumah. Deadline bagi literature review itu pagi semalam, makanya hingga lewat malamlah aku bekerja pada hari Ahad itu. Itupun aku sambung kerja membuat referencing selepas Subuh pagi semalam.

Bangun-bangun sahaja dari tidur, seluruh bacan rasa lenguh (rasa seperti dibelasah) mungkin kerana kejutan pada otot-otot setelah melakukan kerja-kerja memotong rumput di sebelah Ahadnya. Siriesly, lepas ni aku tak akan merungut kalau pemotong rumput upahan di rumah minta bayaran yang tinggi. Penat woh potong rumput! -_-“

Satu lagi event yang menambahkan rencah dalam hidupku weekend yang baru berlalu, 1.8 cm persegi daripada luas permukaan mukaku melecur (bawah pipi). Akibat terkena percikan minyak ketika menggoreng daging burger pada petang Sabtu yang lalu. Alhamdulillah, setakat ini kelihatan semakin kering dan sembuh.

Aku tak guna plaster sebab Mama pesan jangan letak plaster, disokong oleh nasihat seorang doktor yang aku kenal. Jadi aku biarkan sahaja. Asalkan tidak berlaku apa-apa infection dan tidak bernanah, tambah doktor tersebut, jika berlaku (a’uzubillah), perlu segera berjumpa doktor. Jauh dari Dublin aku minta konsultasi perubatan percuma.😛

Lalu setelah menghantar coursework pagi semalam, rasa lega. Tapi yang menanti kini ialah 3 literature review yang dibuat oleh rakan sekelasku yang perlu aku semak. Inilah yang dikatakan peer review. Kerjaku disemak oleh rakanku, dan aku menyemak kerja rakanku. Anonymously. Mungkin rasa sedikit unsecure sebab bukan lecturer yang semak, harap rakan-rakan yang menyemak itu lenient dan murah hati dengan markah.😉

Eh, mana sambutan hari raya haji? Heh, tiada sambutan secara spesifik seperti kebiasaan di kampung halaman. Pagi aidiladha diisi dengan ‘menghayati’ pengorbanan dan kesusahan si pemotong rumput.

Jadi, malam tadi aku me’reward’kan diri dengan menonton satu filem Hindustan yang sangat touching.

Taare Zameen Par

Dengan ini, aku meletakkan Taare Zameen Par No.1 mengatasi filem 3 Idiots dalam senarai filem Hindustan terbaik yang pernah aku tonton.🙂

Filem ini memberi kesedaran bahawa dalam mendidik perlu sabar, setiap individu (khususnya kanak-kanak) ada pace mereka sendiri dalam belajar, oleh itu tidak seharusnya kita melabel mahupun menengking mereka jika mereka tidak mencapai expectation kita. Perlu juga guna positve reinforcement dalam mendidik. Dalam mendidik juga, tidak boleh putus asa dengan potensi seseorang.

Dalam filem itu terdapat satu babak di mana Cikgu Nikhumb (yang dilakonkan oleh Aamir Khan) telah datang ke rumah Ishaan (watak utama, seorang kanak-kanak yang dyslexic). Semasa di rumah Ishaan, Nikhumb telah mengambil satu kotak yang bertulisan jepun di atasnya dan menyuruh ayah Ishaan membaca tulisan itu.

Ayah Ishaan mengatakan mana mungkin dia dapat membaca tulisan itu. Nikhumb terus memaksa dan memaksa. Ayah Ishaan menjadi berang dan meninggikan suara dan mengulangi bahawa dia tidak dapat membaca tulisan jepun itu. Lalu Nikhumb dengan spontan berkata, “Lihat, kamu melawan. Kamu degil dan tidak mendengar kata!”

Itulah yang dirasakan oleh Ishaan, apabila guru-guru dan ibunya menyuruh dia membaca atau membuat kerja rumah, dia ada masalah untuk melakukannya. Walaupun sudah berumur 9 tahun, tulisannya teruk, ejaannya tunggang-langgang. Dia  juga mengulang Darjah 3 selama 2 tahun. Selalu gagal dalam peperiksaannya.

Semua itu hanyalah ‘simptom’ – sesuatu yang kelihatan pada luarannya sebagai natijah kepada masalah sebenar Ishaan iaitu dyslexia. Namun orang sekeliling telah menafsirkan tingkah laku Ishaan yang “kurang berminat” terhadap pelajaran itu sebagai satu masalah sikap dan melabelkan Ishaan sebagai pemalas dan bodoh.

Seek First To Understand, Then To Be Understood

Mungkin dalam kes Ishaan, masalahnya ialah dyslexia. Tetapi tema utama iaitu kegagalan atau sikap tidak peduli dalam usaha memahami punca sesuatu permasalahan dalam diri individu yang dididik ( i.e. anak kepada ibu bapa, pelajar kepada guru, mad’u kepada daie, rakyat kepada pemimpin etc.) berlaku di setiap lapisan masyarakat – walaupun bentuk permasalahan yang dihadapkan kepada kita berbeza-beza.

Bila direfleksi, bukan jarang-jarang anggota masyarakat mahupun ahli famili kita berperwatakan seperti ibu bapa dan guru-guru Ishaan. Apabila dihadapkan dengan “individu bermasalah” seperti Ishaan, mereka (dan kita?) cenderung untuk mengambil pendekatan memarahi dan menghukum (dengan harapan individu itu berubah) tetapi hakikatnya tindakan itu tidak membantu pun  individu tersebut untuk menjadi lebih baik.

Amat kurang usaha untuk memahami apa yang menyebabkan individu itu menunjukkan simptom-simptom sikap yang tidak kita senangi – contohnya seorang anak yang suka melawan, suka mencarut, pemarah, atau seorang mad’u yang tidak berminat dengan program agama, tidak suka bercakap tentang hubungan manusia dan Tuhan, berpandagan terlalu liberal malahan sekular, dan sebagainya.

 Namun, lagi amat kurang usaha untuk membantu individu tersebut mengatasi ‘permasalahan’ mereka.

Refleksi

Kebelakangan ini banyak isu timbul di Malaysia, isu hududnya, isu menyambut Halloweennya, isu Seksualiti Merdekanya, isu Elton Johnnya – antara timbunan isu yang ‘memanaskan’ tanah air kita.

Aku seperti biasa pastinya ada pendapat dan cara fikir sendiri tentang isu tersebut. Kebanyakannya aku luahkan sahaja di status Facebookku. Entah kenapa, akhir-akhir ini aku rasa tidak pasti apakah apa yang aku lontarkan itu patut. Mungkin saja maksud aku benar tetapi cara aku melontarkannya mungkin tidak patut. Mungkin?

Instead of memberikan manfaat (seperti yang aku harapkan), mungkin aku sebenarnya mendatangkan mudharat ke atas maksud sebenar yang ingin aku sampaikan.

Antaranya, isu Elton John yang ingin membuat konsert di Genting Highland; ada sekumpulan golongan agama yang mengecam konsert itu mendesak agar konsert itu dibatalkan. Lalu ada yang memperlekehkan tindakan golongan agamawan ini tadi. Aku pula yang terasa dan tidak bersetuju dengan pandangan golongan ini tadi.

Kata mereka, Elton John kita patut hargai kerana bakat dan kualiti seninya melalui muzik. Bukan bermaksud kita menyokong homoseksual jika kita menyokong konsertnya. Kata mereka, tindakan sebahagian golongan agama ini dangkal – membuatkan orang lari dengan Islam lagi ada.

Bagi aku, aku faham dari mana para golongan agamawan ini datang dengan pandangan mereka. Tujuan penentangan mereka sebenarnya bersifat mencegah dengan kaedah ‘sad az-Zarai” (penutupan ruang salah tafsir orang ramai), agar budaya homoseksual tidak dinormalisasikan ke dalam masyarakat Malaysia khususnya Muslim. Pastinya aku bersetuju dengan pandangan ini.

Cuma ia telah membuatkan aku berfikir sendiri, begitukah pandangan mad’u kepada golongan daie? Yakni,  daie ialah kumpulan ekstrim yang ‘berasa diri bagus’ dan tidak mampu menyelami dan memahami cara fikir mad’u mereka? Jika perkara ini benar, ianya adalah satu kerugian buat da’wah islamiyah itu sendiri.

Ini yang menyebabkan aku jadi tidak sepasti dahulu, apakah aku telah mendatangkan kemudharatan kepada mesej baik yang ingin disampaikan dengan lontaran pandangan yang mungkin bernada ‘keras’ di laman sosial tatapan umum?

Sesungguhnya aku tidak tahu.😦

Kebebasan Yang Mebataskan

Dahulu aku ingat lagi semasa mula-mula menulis blog sekitar 2006. Sungguh bahagia. Blog menjadi ruang yang sangat luas dan bebas untuk aku kongsikan pemahaman dan dapatan aku daripada peristiwa yang berlaku dalam hidupku. Aku menulis juga sebagai medium untuk ruang bertukar update dengan sahabat-sahabat di sekolah menengah kerana kami dipisahkan oleh jarak dan masa selepas tamat SPM.

Yang membaca pun kawan-kawan yang kenal siapa kita – walau apapun yang kita tulis. Mereka setuju atau tidak, boleh terima atau tidak – mereka tahu dari mana kita datang dengan pandangan kita itu. Sepelik manapun pandangan itu, mereka tidak akan menghukum kita. Aku percaya, walaupun aku telah memberikan pandangan yang salah dalam isu A, mereka tidak akan ‘menghukum’ aku dengan melabel aku sebagai seorang yang ‘tidak boleh pakai’.

Jika aku benar dalam pandanganku dalam isu B, C, D, E; mereka ambil manfaat yang ada daripadanya. Kemudian, jika aku tersalah lagi dalam isu F, mereka boleh untuk tidak bersetuju tanpa ‘meninggalkan’ aku terus. Ada yang sudi membetulkan. Semua itu sangat aku hargai. Semoga Allah mengganjari kalian dengan sebaik-baik ganjaran.

Jadi, ianya sungguh berbeza di Facebook, ramai ‘friend’ dalam friend list itu tidak sama seperti kawan-kawan yang aku maksudkan di atas. Jika aku tersalah dalam pandanganku, aku akan mendatangkan fitnah atau kemudharatan kepada mesej baik yang ingin disampaikan.

Apabila diri semakin ‘besar’ (baca: umur), semakin banyak tanggungjawab yang diberikan secara rasmi mahupun tidak rasmi kepada kita. Kita diwajibkan menyampaikan yang benar, mengajak pada kebaikan. Sekali imbas, nampak macam kerja mudah. Mungkin sekali lalu orang akan kata, mudah saja tu – tulislah di status Facebook, sharelah link, tulislah di blog, sampaikanlah dalam usrah, dll.

Nampak macam kerja mudah.

Namun, tanggungjawab yang amat berat terletak pada kesahihan apa yang kita sampaikan. Apakah dari sumber yang boleh dipercayai? Apakah selari dengan al-Quran dan sunnah?

Juga menjadi berat dalam menjaga hubungan kita dengan manusia lain. Apakah kita tidak berlaku zalim (baca: tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya)? Apakah kita telah bersifat ‘menghukum’ dan ‘melabel’ individu lain? Apakah kita telah mengumpat? Apakah kita telah menyakitkan hati orang lain dalam pendekatan kita? Lalu semua ini turut membawa kepada pelbagai penyakit hati seperti riak dan ‘ujub. Na’uzubillah min zalik!

Selari dengan itu, semakin bertambah jugalah tuntutan dan kewajipan untuk meningkatkan ilmu dan kefahaman diri. Dalam hal ini pun banyak cabarannya – nak membaca buku-buku ilmiah tidak semudah menonton filem! Tetapi inilah ‘harga’ yang perlu dibayar untuk menjadi golongan yang Allah sifatkan berjaya dalam surah ali-Imran, ayat 104:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya. “

Of course, kita boleh meninggalkan semua kesusahan ini jika kita tidak mahu berjaya pada pandangan Allah. Namun, mahukah kita untuk menjadi golongan yang tidak berjaya??

Penutup

Knowledge is Light. Itu sahaja rasanya peringatan besar dariku untuk diriku dalam entri kali ini. Jangan malas untuk tambah ilmu. Bertanggungjawab dengan apa yang diperkatakan. Semakin banyak kita cakap, semakin banyak pertanggungjawaban ke atas apa yang kita cakapkan.

“…mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan?” [Surah as-Saff: 2]

Sesungguhnya besar kemurkaan Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan!

Allahuakbar wa lillahilhamd.

Allahu’alam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s