Hidup Betul-betul

Pendek saja postku pada kali ini. Sebagai respon atau peringatan buat diri kenapa aku (dan kita semua) perlu pegang islam betul-betul, selepas beberapa peristiwa yang berlaku di sekelilingku baru-baru ini.

Kebanyakan daripada kita, lahir-lahir saja dah islam. Kita buat apa islam suruh, solat, zakat, puasa, buat baik kepada ibu bapa, kepada orang lain dsb. Alhamdulillah. Semua itu kita belajar melalui sistem pendidikan di sekolah, sama ada dalam mata pelajaran Pendidikan Islam mahupun kelas tambahan di sebelah petang yang popular dengan nama kelas fardhu ‘ain.

Kita juga dihantar belajar mengaji (al-Quran). Berlumba-lumba antara kawan-kawan, siapa khatam dahulu. Siapa dapat join majlis khatam al-Quran bila ada majlis kahwin saudara-mara dalam masa terdekat. Kalau anak staf Petronas macam aku dan adik-adik, kebolehan membaca al-Quran umpama ‘pelaburan’, setiap tahun masuk pertandingan tadarus al-Quran; persaingan tak banyak, hadiah pun lumayan, masuk pertandingan untuk dapat duit (maaf, mindset kanak-kanak).

‘Idkhulu fi Sillmi Kaffah’

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam islam secara keseluruhan (kaffah) dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu”

(Surah al-Baqarah: 208)

Walaupun kita lahir-lahir dah islam, aku rasa kita tidak mempunyai pandangan atau kefahaman yang menyeluruh terhadap Allah dan apa yang Dia perintahkan. Islam kita hanya pada ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat tetapi pernahkah kita diajar secara mendalam kupasan kalimah syahadah yang merupakan komponen no. 1 dalam rukun islam?

Bagi ramai orang; cukuplah aku solat, aku puasa, aku bayar zakat, kalau ada duit aku pergi haji, maka sempurna sudah islamku. Begitukah?

Banyak lagi tuntutan lain yang terangkum dalam tuntutan kalimah ‘laa ilaha illa Allah, Muhamad ar-rasulullah’.

Beberapa Peristiwa

Seperti yang aku katakan, post ini adalah respon untuk beberapa peristiwa yang aku rasa berpunca dari akar masalah yang sama, orang islam tidak mendapat pendidikan islam yang sebenar dan orang bukan islam pun tidak mampu melihat islam dengan pandangan yang benar. Di sini, suka untuk aku salahkan pihak berautoriti yang tidak tegas nak amalkan islam (kalau bukan islam, lain cerita, masalahnya yang dah sah-sah megaku islam!)

1) Isu homoseksualiti (seksualiti merdeka) yang aku postkan di Facebook telah menjadi ruang perdebatan panas tentang rasional mengapa islam menolak homoseksualiti dan persoalan yang menjadi cabaran buat aku (obviously), bagaimana cara terbaik untuk aku jelaskan?

2) Seorang insan yang baru confess depan muka aku bahawa beliau tidak mahu ikut program agama yang aku ajak sebab rasa inferior dengan orang lain (down sebab ada orang lain kelihatan lebih ‘berilmu’)?

Pertama sekali, harus betulkan niat, kita pergi program agama untuk tambah kefahaman tentang islam agar kita jadi lebih dekat dengan Allah, bukan nak bersaing dapat markah pengetahuan islam paling tinggi. Ini melibatkan isu ikhlas, isu ‘penyerahan’ apa yang kita buat sepatutnya kerana Allah. Kita nak tambah ilmu islam bukan nak impress orang lain, tetapi sebab Allah suruh.

Bagaimana kita view Allah? Apakah kita terlalu obses dengan pandangan manusia terhadap diri kita hingga tak fikir langsung bagaimana Allah lihat ‘amal kita? Aku rasa mengelak untuk ke majlis ilmu atas sebab yang disebutkan di atas adalah sangat tak boleh diterima. Cabaran buat diri aku, bagaimana aku boleh bantu betulkan paradigma ini?

3) Isu ‘Kelab Isteri Taat’. Aku baru menonton satu video di Youtube, liputan yang dibuat oleh media tertentu di luar negara tentang kelab ini yang ada pandangan yang sangat “menakutkan” bagaimana seorang isteri perlu taat kepada suami. (tak sampai hati nak post video tu, Google lah kalau nak tahu lanjut, kalau nak drop komen di post ini, dipersilakan). Ini juga boleh membawa silap faham terhadap islam yang sebenar.

Silap Faham

Jadi, ketiga-tiga peristiwa ini aku rasa berpunca daripada silap faham akan konsep-konsep yang diajarkan oleh islam. Sama ada non-muslim tidak mampu melihat keindahan islam kerana kita gagal mempamerkannya secara besar-besaran atau orang islam sendiri yang lahir-lahir islam kurang inisiatif untuk tambahkan ilmu (sebab dah islam dari lahir).

Sekali lagi, ini aku beratkan di atas bahu pihak berautoriti yang melaksanakan islam secra ala kadar sahaja. Orang islam faham atau tak faham islam; mereka tidak kisah. Orang non-muslim salah faham tentang islam, mereka mungkin kata biarkanlah.

Tapi sekali lagi, sungguh tidak proaktif jika kita hanya nak salahkan orang lain tetapi bukan diri ini.

Bermasyarakat

Kita hidup bermasyarakat. Kita tidak boleh lari daripada menjadi sebahagian daripada masyarakat. Bagaimana kita berusaha untuk memperbaiki diri kita, begitu juga kita perlu terlibat dalam usaha memperbaiki masyarakat. Hal ini kerana, kita perlu susasana yang kondusif untuk istiqamah dalam perubahan diri yang kita buat.

Jadi, seruan kepada diri ini dan semua, sama-sama kita perbaiki diri, tambah ilmu tentang islam sama ada dengan menyertai usrah, dengar ceramah, ikut perbincangan, membaca, bertanya, dsb agar seterusnya kita dapat menjadi umpama nukleus yang boleh memancarkan manfaat kepada lebih ramai orang untuk kembali kepada Allah.

Ini termasuklah juga membuat perkara seperti mengundi parti islam agar orang-orang yang serius dan ikhlas nak laksanakan islam dapat menyediakan instrumen untuk mendapatkan kefahaman islam yang sebenar menjadi available di negara kita agar umat islam dan bukan islam tidak salah faham tentang islam.

Usah berkira dengan duit yang terpaksa kita keluarkan (e.g.. untuk pergi ke majlis ilmu), usah rasa membazir tenaga & masa untuk buat kerja-kerja yang Allah suruh dan suka. Betulkan niat dan yakin dengan janji Allah bahawa segala yang diinfaqkan ke jalan-Nya akan diberi sebaik-baik ganjaran (e.g. syurga).

Penutup

Ini adalah post yang aku rasa agak segera aku tulis (less than 1 hour), jadi poin-poin yang aku sampaikan mungkin tidak cukup dimurnikan. Tapi aku harap, kalian dapat mengutip tema utama yang cuba aku sampaikan, ‘aslih nafsak, wa yad’u ghairak’ yang bermaksud:

Perbaikilah diri dan serulah orang lain.

Kepada Allah kita memohon petunjuk dan kekuatan.

Allahu’alam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s