‘Creating Hope’

Hari ini sudah masuk hari ketiga cuti winter untuk sesi akademik 2011/12.🙂

Alhamdulillah pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu, berpeluang untuk menyertai Muslim Association of British Conference di Birmingham. Sungguh menarik, tema yang dibawa di dalam konferens itu ialah ‘Creating Hope’. Penceramah-penceramah yang hadir sungguh menginspirasikan, baik yang tua mahupun yang muda, lelaki ataupun perempuan.

Datang ke situ memang sungguh terasa kediversitian umat islam. Orang islam pelbagai warna, bahasa, mahupun cara berpakaian hadir. Inilah yang dikatakan persaudaraan islam (ukhuwwah islamiyyah). Mungkin keadaan di Mekah ketika Haji lebih mengharukan. :’)

Berikut ialah sedikit-sebanyak yang boleh aku kongsikan. Tetapi pastinya lebih banyak lagi yang diberikan kepada peserta-peserta konferens keseluruhannya.

*Dipetik daripada Notes di Facebook.

********
Balik dari MAB Conference ‘Creating Hope’, memang sangat menganjak paradigma saya sebagai seorang muslim dan juga peminat gerakan islam.

Islam Untuk Semua

Kita bukan sekadar nak tegakkan undang-undang islam (yang difahami umum sebagai hukum jenayah semata-mata seperti hudud), tetapi matlamat yang lebih besar ialah menyebarkan rahmat islam kepada seluruh alam (atau yang lebih praktikal, kepada rakyat di watan kita sendiri, tempat kita dibesarkan).

Islam menganjurkan kebajikan dan keadilan. Islam tolak penindasan. Itu nilai-nilai islam yang harus kita perjuangkan. Kita bukan sekadar nak selamatkan umat islam daripada keruntuhan moral, malahan untuk semua lapisan masyarakat pelbagai kaum, pelbagai bangsa.

Kita bukan nak perjuangkan interest umat islam semata-mata, tetapi menegakkan keadilan dan kebajikan untuk semua.

Salah seorang penceramah, Adnan Rashid, mengongsikan bagaimana tentera islam suatu ketika dahulu masuk ke Spain, Syria, Persia, dan juga Jerusalem untuk membebaskan gereja-gereja yang ada. Mereka menentang rejim pemerintah yang menindas rakyat di negara-negara tersebut dan kemudian memerintah dengan keadilan islam.

Selepas keadilan islam terlihat di mata rakyat (yang majoritinya bukan islam), pemerintah islam mengajak mereka untuk mentauhidkan Allah (menerima Allah sebagai Tuhan yang satu). Kemudian, terserah kepada golongan bukan islam sama ada ingin menerima islam sebagai cara hidup atau tidak.

Itulah yang dikatakan ‘laa ikraha fiddin’ (Quran, 2: 256) yang bermaksud, tiada paksaan dalam beragama. Namun, tiada tekanan terhadap golongan tersebut (i.e. mereka tidak dihukum, dipenjara atau lain-lain) malahan hak-hak mereka tetap dijaga walaupun mereka tidak bersedia untuk menerima islam sebagai satu kepercayaan.

Keperluan Pembentukan Indvidu Muslim dan Limitasinya

Apakah kita melihat daripada sejarah, umat islam datang membawa islam dengan menumpukan kepada pembentukan individu muslim semata-mata? Pembentukan muslim itu penting dan pastinya turut dilakukan, namun apabila capaian kepada manusia semakin meluas, di mana keadilan islam sukar dizahirkan tanpa kerajaan dan kuasa pemerintahan, umat islam melangkah setapak dengan berjihad menjatuhkan kerajaan-kerajaan yang zalim.

Kita tidak melihat umat islam dahulu masuk ke dalam kerajaan-kerajaan dengan melakukan da’wah fardhi kepada masyarakat yang tertindas semata-mata. Jika ada pun, itu pada peringkat paling awal kelahiran islam, ketika di zaman Mekah. (rujuk: da’wah di rumah Arqam bin abi al-Arqam, da’wah di sekitar kaabah kepada pelancong yang datang dari luar Mekah, Perjanjian Aqabah 1 & 2)

Mungkin agak kontroversial, tetapi umat islam menyerang kerajaan-kerajaan tersebut secara ketenteraan. Apa yang orientalis barat uar-uarkan pada hari ini ‘islam tersebar dengan mata pedang’. Tetapi umat islam menggunakan kekuataan ketenteraan bukan untuk membunuh orang sesuka hati (malahan tindakan ini HARAM di sisi islam).

Tentera islam memerangi pemerintah yang menindas rakyat mereka.

*Perlu diingat peperangan dalam islam ada peraturannya seperti tidak boleh mencederakan golongan yang lemah (tidak mampu berperang) seperti wanita, kanak-kanak, orang tua malahan tumbuh-tumbuhan pun tidak boleh dirosakkan*

Namun, jika kita lihat lembaran sejarah juga, tentera islam memulakan misi keteteraan dengan perdamaian. Surat dihantar kepada pihak lawan agar menerima seruan islam (i.e. tidak melakukan penindasan terhadap rakyat) namun jika mereka berdegil, barulah jalan ketenteraan iaitu peperangan diambil (sungguh berbeza dengan perang yang dicetuskan oleh Amerika dan Israel di bumi umat islam kini seperti Afghanistan, Iraq, dan juga Palestin).

Lawan Yang Zalim Untuk Menjadi Pengganti Yang Membawa Keadilan

Apa matlamat umat islam melawan kezaliman pemerintah dan mendapatkan kuasa dan kerajaan?

Adakah untuk merampas harta-harta kerajaan tersebut agar umat islam di Madinah menjadi kaya?

Adakah untuk menjajah rakyat negara itu agar dapat dijadikan hamba dan buruh kasar bagi umat islam?

TIDAK. Tidak sesekali.

Umat islam memilih untuk bersusah-payah, keluar dari Madinah, menentang segala bentuk kerajaan yang zalim yang ada di muka bumi pada ketika itu untuk menegakkan keadilan yang menyeluruh buat semua manusia.

“Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke timur dan ke barat, tetapi kebajikan itu ialah siapa yang beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada orang yang terdekat, anak yatim, orang-orang miskin, orang yang dalam perjalanan, peminta-peminta, dan untuk memerdekakan mereka yang diperhambakan…”

(Quran, 2 :177)

Begitulah juga di watan kita, kita menyedari bagaimana dahsyatnya rakyat negara kita dengan pelbagai keruntuhan moral yang berlaku. Zina berleluasa, pembuangan bayi sudah tidak pernah tidak tersiar di surat khabar, keruntuhan institusi keluarga, kes perceraian yang semakin meningkat dan sebagainya.

Mungkin ramai yang berkata, punca masalah ini kerana kurangnya didikan agama, kurangnya tarbiyah islam dalam diri individu muslim lantas gagal membentuk keluarga muslim apatah lagi masayarakat muslim yang didambakan. Negara islam? Jangan berangan, kata sesetengahnya.

Keadilan Menyeluruh Matlamat Perjuangan Kita

Sedar atau tidak, mungkinkah sahaja berlakunya keruntuhan institusi keluarga kerana krisis ekonomi yang menekan? Harga barangan dan keperluan asas yang terlampau mahal, banyak cukai-cukai yang tidak adil perlu dibayar oleh rakyat yang tidak mampu, sebagai contohnya, pembayaran tol di mana rakyat yang super-kaya dan rakyat miskin perlu membayar kadar tol yang sama. Di manakah keadilan di sini?

Mari kita lihat satu contoh.

Seorang jutawan dengan Mercedeznya tidak terasa apa-apa dengan RM 10 untuk tol yang dibayar, tetapi untuk seorang pakcik tua pencen yang menaiki Proton Saga tua semenjak tahun 1985 lagi merasakan RM 10 itu cukup untuk mengenyangkan perut dia dan keluarganya untuk sehari (baca: betapa bernilainya RM 10 kepada orang susah).

Maka menghapuskan tol adalah satu bentuk menegakkan keadilan yang menyeluruh itu tadi. Menurut keadilan islam, cukai itu harus dikenakan mengikut kemampuan setiap rakyat. Bagaimana pula dengan rancangan kerajaan untuk mengenakan GST (cukai barangan dan servis), sama juga halnya, ia akan menjadi beban kepada rakyat yang miskin kerana golongan kaya mahupun miskin akan membayar cukai yang sama nilainya.

Pengislahan Sukar Tanpa Persekitaran Yang Kondusif Untuk Islah

Berbalik kepada krisis ekonomi sebagai punca keruntuhan institusi keluarga. Seorang ketua keluarga (biasanya bapa) yang bertanggungjawab mencari makan untuk menyara keluarga, boleh sahaja mengalami tekanan kerana tidak cukup duit lantas boleh sahaja melakukan pinjaman kepada ‘along’ yang mengenakan riba’ yang sangat tinggi.

Dalam keadaan ekonomi keluarga yang menekan, si bapa mungkin menjadi si baran yang menempiaskan kemarahan kepada ahli keluarganya. Hal ini pastinya menjejaskan emosi si isteri dan anak-anak. Si isteri mungkin menjadi nusyuz, mengaibkan suami dengan menceritakan keburukan suami kepada orang lain.

Anak-anak yang mengalami tekanan emosi menjadi liar dan mencari kasih-sayang di luar rumah dan siapa tahu mungkin akan menjerumus kepada zina dan akhirnya lahir anak yang ‘tidak diingini’ lalu terjadilah kes pembuagan bayi. Nau’zubillah min zalik.

Boleh jadi juga, si bapa terjerumus dengan masalah arak sebagai cara untuk ‘melupakan masalah’ yang melanda dan juga terlibat dalam perjudian dengan harapan dapat memenangi wang yang banyak dalam masa yang singkat.

Mungkin juga boleh jadi, si bapa tidak tahan lalu meninggalkan keluarga, dan terkontang-kantinglah si isteri dan anak-anak di rumah. Apa lagi yang mungkin terjadi? Si isteri yang selama ini hanya menjadi suri rumah akhirnya mungkin memilih untuk ‘menjual diri’ demi mendapatkan sesuap nasi.

Apa yang lagi dahsyat yang mungkin berlaku? Si ibu tunggal tadi sanggup menggadaikan aqidah untuk mendapat bantuan kewangan daripada pihak missionaries bukan islam!

Peranan Kuasa dan Kerajaan

Mungkin ada yang akan berkata, ‘Hah! Sebab itulah kita perlu membentuk individu muslim. Jika semua telah tertarbiyah pasti semua ini tidak akan berlaku!’ Itu benar, to a certain extent.

Hakikatnya, disebabkan pemerintah sedia ada tidak amanah, berlakunya rasuah sehingga perbendaharaan negara tidak diuruskan dengan sebaiknya. Hutang negara semakin bertambah. Implikasinya, untuk menanggung beban hutang ini, kerajaan mengenakan pelbagai bentuk cukai kepada rakyat. Subsidi juga ditarik satu demi satu.

Pemerintah jugalah yang berkata, demi meningkatkan pedapatan negara, perlunya lebih banyak hub-hub hiburan diwujudkan agar lebih ramai pelancong datang ke negara kita dan membawa duit masuk.

Teringat pula saya kepada kata-kata salah seorang penceramah di konferens tersebut,

“Alcoholic drinks, gambling, and pornography industries accumulate wealth with the expense of moral decrease of the society”

(Zahid Pervez, ‘Creating Hope’, MAB Conference 2011)

Untuk mengaitkan dengan contoh ‘si bapa’ yang memilih untuk meminjam wang daripada ‘along’ tadi, itu juga merupakan implikasi daripada keputusan pemerintah yang menggalakkan sistem kapitalis dan riba’. Iaitu sistem yang berlandaskan nafsu untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.

Untuk berhutang sungguh sukar. Jika berhutang dengan institusi kewangan yang diiktiraf kerajaan, sistem riba’ menjadikan orang yang berhutang perlu membayar lebih daripada apa yang mereka pinjam. Semakin lama kita menangguhkan pembayaran, semakin banyak hutang yang perlu dibayar. Asalnya hutang yang bernilai RM 1000 sahaja boleh menjadi RM 20 000 selepas beberapa ketika!

Itu bukan membantu namanya, tetapi semakin menyusahkan!

Masyarakat yang kita sedang berhadapan ini umpama rakyat di zaman penjajahan Rom dan Parsi suatu zaman dahulu yang tertindas di bumi sendiri. Gerakan islam perlu memimpin umat islam untuk menjatuhkan pemerintah yang zalim untuk menzahirkan keadilan islam kepada rakyat, untuk menyelesaikan masalah rakyat serta memenuhi keperluan spiritual mahupun material rakyat.

Bagaimana pun tarbiyah yang kita usahakan, jika suasana maysarakat tidak membantu untuk mereka beramal dengan islam, ia tidak akan menjadi praktikal juga.

Kita kata ‘jangan minum arak’, tapi tak ada usaha nak bantu masyarakat untuk jadi ‘kurang tertarik’ dengan arak. (contohnya, kurangkan publisiti di TV/papan iklan di jalan raya) – sebab nak ban arak terus mungkin susah sebab masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Kita kata ‘la taqrabu zina..’, tapi kita biarkan filem/drama yang menaikkan keinginan untuk menghampiri zina berleluasa.

Kita kata siapa ambil riba’ akan ‘diperangi oleh Allah dan rasul’, tetapi kita tak berusaha untuk menyediakan alternatifnya kepada masyarakat yang inginkan sistem kewangan yang adil dan tidak menindas.

…dan banyak lagi contoh lain.

‘Kita Berada di Zaman Mekah’ : Satu Analogi Yang Kurang Tepat

Masyarakat yang kita sedang berhadapan sekarang bukan macam masyarakat jahiliyah di Mekah sewaktu islam datang dahulu. Masyarakat Arab di Mekah dahulu agak ‘suci’ pemikiran mereka, seperti yang dijelaskan oleh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthy dalam buku ‘Sirah Nabawiyah’ ketika menjelaskan hikmah Allah memilih jazirah tanah arab sebagai tempat kelahiran dan pertumbuhan islam, bukan Rom atau Parsi yang menjadi kuasa besar dunia pada waktu itu.

Di samping itu harus diketahui bahwa ada satu hal yang menjadi sebab utama terjadinya kemerosotan, keguncangan dan kenestapaan pada ummat-ummat tersebut (baca: Rom, Parsi, Yunani, dll), yaitu peradaban dan kebudayaan yang didasarkan pada nilai-nilai materialistik semata, tanpa ada nilai-nilai moral yang mengarahkan peradaban dan kebudayaan tersebut kejalan yang benar. Akan halnya peradaban berikut segala implikasinya dan penampilannya , tidak lain hanylaah merupakan sarana dan instrumen. Jika pemegang sarana dan instrumen tidak memiliki pemikiran dan nilai-nilai moral yang benar, maka peradaban yang ada di tangan mereka akan berubah menjadi alat kesengsaraan dan kehancuran. Tetapi jika pemegang memiliki pemikiran yang benar, yang hanya bisa diperoleh melalui wahyu Ilahi, maka seluruh nilai peradaban dan kebudayaan akan menjadi sarana ang baik badi kebudayaan yang berbahagia penuh dengan rahmat di segala bidang.

Sementara itu, di jazirah Arabia hidup dengan tenang, jauh dari bentuk keguncangan tersebut. Mereka tidak memiliki kemewahan dan peradaban Persia yang memungkinkan mereka kreatif dan pandai menciptakan kemerosotan-kemerosotan, falsafah keserbabolehan dan kebejatan moral yang dikemas dalam bentuk agama. Mereka juga tidak memiliki kekuatan militer Romawi, yang mendorong mereka melakukan ekspansi kengera-negara tetangga. Mereka tidak memiliki filosofi dan dialetika Yunani yang menjerat mereka menjadi bangsa mithos dan khurafat.

Karakteristik mereka seperti bahan baku yang belum diolah dengan bahan lain, masih menampakkan fitrah kemanusiaan dan kecenderungan yang sehat dan kuat, serta cenderung kepada kemanusiaan yang mulia, seperti setia, penolong, dermawan, rasa harga diri, dan kesucian.

Masyarakat negara kita sudah ‘mendapat islam’ (baca: belajar tentang islam semenjak kecil) tetapi pada masa yang sama masyarakat hari ini sudah dipenuhi dengan pelbagai ideologi seperti kapitalisme (ingin mendapat untung semata-mata tanpa mengenal halal-haram, sama ada bermoral atau tidak), juga liberalisme yang sentiasa melaungkan kebebasan peribadi serta hedonisme yang menjadikan masyarakat terlalu obses untuk mencapai kepuasan nafsu peribadi sahaja.

Menyerahkan Pemerintahan Kepada Yang Beramanah

Mungkin ada yang mempersoalkan, ‘Ahh, itu berlaku disebabkan zakat tak diuruskan dan diagihkan dengan telus. Bukankah kita ada berjuta-juta ringgit hasil kutipan zakat di negara ini?’

Ya, memang benar, tetapi disebabkan ianya tidak diuruskan oleh yang amanah, maka menjadilah masalah orang susah tidak terbela hidup mereka. Seharusnya pengurus harta negara ini perlulah diserahkan kepada mereka yang bermanah di mana akauntabiliti mereka bukan terhadap manusia tetapi terhadap Allah.

Walaupun manusia tidak tahu, mereka tetap tidak berani untuk berlaku tidak amanah kerana mereka yakin Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap apa yang mereka lakukan secara tersembunyi mahupun tidak.

Penutup

Oleh itu, seiring dengan usaha membentuk individu muslim, keluarga muslim, dan masyarakat muslim, kita perlu berusaha untuk mendapatkan kekuasaan dan kerajaan agar keadilan yang menyeluruh dapat ditegakkan. Agar hidup rakyat susah terbela. Agar keruntuhan moral dapat dibendung. Agar institusi keluarga yang menjadi tonggak pembentukan negara tidak terdedah kepada kegagalan. insyaAllah.

Kita perlu dapatkan kekuasaan dan kerajaan bukan kerana kita gila kuasa atau pengaruh. Kita perlu dapatkan kekuasaan dan kerajaan agar rejim zalim dan menindas rakyat yang mengkayakan diri dan kroni sendiri dijatuhkan.

Kemudian, dengan kekuasaan yang ada, kita sebarkan rahmat Allah melalui syiar islam (bukan paksa orang masuk islam, jangan salah faham) seperti mengamalkan prinsip pemerintahan yang adil dan berintegriti.

Kita didik (tarbiyah?) masyarakat secara lebih menyeluruh (bukan sekadar melalui ceramah dan usrah) tentang apa itu islam sebenarnya, kita bersihkan salah faham masyarakat khususnya non-muslim terhadap islam. Kemudian kita serahkan kepada rakyat jika mereka ingin mengikut islam atau sebaliknya.

Sama seperti pejuang islam zaman lampau.

Akhir kata, suka untuk saya ambil kata-kata Rub’ie bin Amir ketika bertemu dengan Rustum (Panglima Tentera Parsi):

“Allah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah semata- mata, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”.

Sebahagian daripada insights yang didapati daripada kehadiran saya ke Muslim Association of Britain Conference ‘Creating Hope’ di Birmingham hujung minggu lalu. Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Secara keseluruhannya, konferens ini memberikan kesedaran kepada umat islam bahawa sebagai orang-orang yang diberikan kitab al-Quran seharusnya mempunyai HOPE terhadap Allah swt dan perlu memberikan HOPE yang sama kepada manusia lain seluruhnya. (rujuk Surah ali-Imran: 110).

Mohon dibetulkan jika ada yang saya tersilap faham. Perkongsian input tambahan juga dialu-alukan.

Allahu’alam.

2 thoughts on “‘Creating Hope’

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s