Kronism Terpilih?

“Cronyism: the appointment of friends and associates to positions of authority, without proper regard to their qualifications”

(New Oxford American Dictionary)

Betul ka menteri-menteri dan ahli politik sekular saja yang buat kronism ni?

Macam mana dengan ‘tender tertutup’ yang ditujukan khusus kepada ‘golongan yang tak berkepentingan’ tetapi ‘ada kaitan’ kepada si penawar tender (contohnya, sama bangsa, sama agama, sama ideologi perjuangan, sama keturunan, sama kampung, dll)

Dengan alasan, “Nak bantu orang sendiri maju” (maksudnya, dia yang menawarkan tender tak dapat apa-apa imbuhan pun, cuma nak tolong orang yang dikenali rapat)

Apakah alasan itu cukup ‘murni’ untuk ‘membolehkan’ kronism? Wujudkah ‘kronism’ yang ‘diharuskan’?

Saya sedang berfikir, bukan buat kesimpulan. Apa yang dapat saya simpulkan, tak mudah nak ‘perjuangkan keadilan’.

Hurm.

Allahu’alam.

Advertisements

Tiada Seandainya

Rasulullah SAW bersabda:

“Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpamu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.”

(Hadith Riwayat Muslim)

“Lalang” by MatLuthfi

Pertama sekali, komen yang ingin aku tuliskan ini bukanlah untuk mengkritik hasil karya MatLuthfi. MasyaAllah, MatLuthfi memang seorang yang berbakat dalam menghasilkan video. Bukan video saja-saja tapi ada mesej yang bermakna. Video MatLuthfi yang pertama aku tonton ialah video bertajuk “typical local film/drama scenes“. Mantop, tak kering gusi aku dibuatnya! LOL! >_<

Bermula dari situ, aku mengikuti video-video yang beliau hasilkan. 🙂

Kemudian, baru-baru ini, MatLuthfi telah ‘menggegarkan dunia’ dengan kemunculannya dalam video ‘Oley!‘ dengan tagline beliau yang popular dalam video tersebut iaitu, “Curi gitar haram, curi hati takpe.” Video tersebut merupakan video response kepada video Sembang Rakyat yang menghina hukum hudud. Aku pernah kongsikan tentang video tersebut dahulu di blog ini.

Tentang video ‘lalang‘, beberapa hari lepas, entah bagaimana aku boleh terdetik untuk membuka channel MatLuthfi di Youtube. Sebaik sahaja dibuka, aku ternampak ada video terbaru di sana. Apa lagi, aku sungguh excited!

Video itu aku tonton. Aku expect aku akan ketawa menonton video itu (yalah, sedang exam, ingin mencari sesuatu yang boleh membuatkan diri tersenyum). Namun jangkaanku meleset kerana isu yang dibawa oleh MatLuthfi dalam video itu merupakan isu yang berat. Ianya berunsurkan sindiran kepada masyarakat yang suka berbalah dalam isu politik namun perbalahan itu selalunya tidak berasas.

Seperti kata MatLuthfi dalam penerangan yang dituliskannya di bawah video tersebut:

benar politik itu tidak kotor. cumanya penghujahan sihat jarang sekali berlaku. seringkali sesuatu isu itu dicemari sentiment parti, peribadi malah emosi. Lalang menceritakan sisi pandang pihak ketiga, sang kancil yang tersepit antara dua gajah…”

‘Lalang’ dalam video ini merujuk kepada golongan yang berkecuali dalam isu politik. Golongan ini dikatakan ‘lalang’ kerana mereka tiada pendirian (tidak menyokong mana-mana pihak) dan seperti tidak ambil kisah tentang isu semasa dan lebih suka ‘buat kerja sendiri’ sahaja (kerana mereka tidak menyatakan pendirian atau pendapat mereka secara terang-terangan mengenai isu-isu politik).

‘lalang’ : Satu Analisa

Sebelum kalian membaca komentarku, adalah baik untuk ditonton dahulu video ini agar lebih mudah memahami apa yang aku tuliskan:

Dalam video itu, ada 2 watak lelaki. Jika kita lihat, mereka jelas mempunyai pandangan politik yang berbeza. Apa yang MatLuthfi highlightkan ialah (aku rasa), daripada 2 watak tersebut, perbezaan pandangan politik antara mereka lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian. Dengan erti kata lain, golongan seperti ini cenderung membenarkan pihaknya saja walaupun nyata salah dan memburukkan pihak lawannya walaupun mereka benar.

(Contoh: cadangan memberi kondom percuma untuk mengatasi masalah buang bayi).

Seperkara lagi, jika perhatikan setiap kali mereka berbicara isu politik, lihat ‘suasana’ mereka. Tegang bukan? Setiap kali pun mesti bergaduh. Meninggi suara, sindir-menyindir, dan segala perbuatan yang menyakitkan hati satu sama lain.

Pada pengamatan aku, itulah ‘permasalahan’ yang ingin ditonjolkan dalam video tersebut. Yakni, permasalahan SIKAP segolongan anggota masyarakat yang berlebih-lebihan dari sudut emosi ketika berbicara mengenai politik. IQ dan SQ diletakkan entah di mana.

Matlamat “perbincangan” (baca: perbalahan) bukan untuk mendapatkan penyelesaian tetapi untuk memenangkan pendapat sendiri (dan parti yang disokong) dan pada masa yang sama ingin menyakitkan hati pihak yang satu lagi. Kedua-dua pihak pun sama saja.

Aku kira MatLuthfi telah berjaya mengenalpasti ‘latar belakang masyarakat’ yang ‘bermasalah’ dan telah ditonjolkan dalam video ini agar mesej yang ingin diketengahkan dapat disampaikan.

‘lalang’ : Pengajaran Yang Boleh Diambil

Maka, maksud yang dapat aku tafsirkan daripada video ini ialah; supaya kita selaku anggota masyarakat haruslah meninggalkan budaya berbalah pendapat dalam isu politik yang tidak sihat seperti caci-mencaci antara pihak berlawanan hingga menyebabkan pergaduhan.

Pengajaran lain yang boleh diambil ialah ahli politik sendiri (yang bertanggungjawab memulakan budaya caci-mencaci pihak lawan) perlu berhenti daripada budaya tidak elok itu kerana mereka menjadi contoh masyarakat. Apa yang mereka perkatakan akan ‘dilantunkan’ oleh rakyat. Mungkin bagi penyokong mereka (baca: ahli politik), perkara tersebut ‘halal’ untuk dilakukan kerana insan yang mereka ‘hormat’ pun berbuat begitu.

Masyarakat seluruhnya (ahli politik mahupun pengikut mereka) perlu melakukan PERUBAHAN SIKAP.

Buat rakyat marhaen seperti kita, menjadi keperluan untuk kita cakna dalam isu politik dan isu semasa. Sebab itulah MatLuthfi menghighlightkan ‘politik itu tidak kotor’; ayat tersebut menunjukkan unsur penegasan bahawa politik itu penting dan perlu.

‘lalang’ :  Ekspresi Simpati

Amat menyimpang anggapan pihak tertentu (pengkomen video tersebut) yang mentafsirkan bahawa MatLuthfi ‘menyokong’ golongan yang diistilahkan sebagai ‘lalang’ ini.

Aku rasa MatLuthfi hanya ‘bersimpati’ kepada golongan ‘lalang’ yang menjadi mangsa masyarakat yang diwakili oleh 2 watak yang disebutkan tadi. Apa yang menyedihkan wujudnya golongan ‘lalang’ ini bukanlah kerana mereka tidak mahu ambil kisah tentang isu semasa dan politik.

Tetapi, mereka mengambil sikap ‘berkecuali’ atau ‘mediamkan diri’ kerana mereka menyampah, meluat, muak, dan yang sewaktu dengannya terhadap SIKAP masyarakat yang lebih kepada emosi dalam membicarakan isu politik yang kadang-kala membawa kepada pergaduhan (dan permusuhan).

*kalau rajin, boleh la go through komen-komen pada video tersebut dan kalian akan mendapati luahan rasa ramai ‘lalang’ seperti yang aku tuliskan di atas*

‘lalang’ : Mesej Utama

Apabila dikatakan kita perlu cakna akan isu politik dan isu semasa, tidak bermaksud kita harus mengambil sikap politik kepartian. Kita bebas mengkritik kedua-dua pihak. Namun perlu diperjelaskan di sini, apabila dikatakan ‘mengkritik’ bukanlah bermaksud bercakap mengenai keburukan peribadi tokoh-tokoh politik (contoh: menggelarkan orang dengan gelaran seperti ‘Nojib Altantuya‘, ‘Onwar Aljuburi‘, dll).

Tindakan mengkritik secara negatif (baca: menghina, mencaci, dsb) tidak ada manfaatnya. Malahan menambah dosa. Perkara ini dihighlightkan oleh MatLuthfi dalam babak terakhir video tersebut di mana watak ‘lalang’ itu membocorkan siling dan air menitis daripada siling itu lalu mengatakan, “Siapa yang nak cegah masalah pi tutup lubang, siapa yang nak kawal masalah, pi cari baldi.”

Ketika kedua-dua lelaki tadi bergegas ingin “menyelesaikan masalah siling bocor tetsebut”, mereka telah dihentikan oleh watak ‘lalang’ yang bertanya mereka hendak ke mana. Dengan serentak mereka menjawab mereka ingin menyelesaikan masalah itu. Apa kata watak ‘lalang’ itu seterusnya?

Takyah, takyah, takyah. Hangpa sambung bergaduh, masalah selesai sendiri!” dengan nada yang penuh sinikal.

Di sini kita dapat melihat dengan jelas ‘mesej utama’ yang boleh kita ambil ialah: perbalahan politik dalam kalangan rakyat seperti yang dilakukan oleh 2 watak lelaki itu tadi tidak membawa ke mana. “Perbincangan” (so-called) mereka selama ini yang konononnya ‘cakna akan isu politik dan isu semasa’ tidak menyelesaikan apa-apa pun.

Apa yang mereka dapat? Rasa sakit hati dan benci antara satu sama lain. Dalam skala masyarakat yang lebih besar, ini menyebabkan perpecahan yang ketara.

Di akhir video, MatLuthfi meninggalkan kita dengan sepotong ayat, “ya mereka pohon besar, akar kuat sampai sukar nak diubah“. Apa yang boleh aku tafsirkan, walau dahsyat bagaimana pun rakyat marhaen seperti kita mengkritik ‘pihak atasan’, kita takkan mampu ubah apa-apa tentang mereka, akhirnya bergaduh sesama sendiri sahaja.

KESIMPULANNYA: Berhenti kutuk-mengutuk antara penyokong-penyokong parti politik kerana apa yang dibuat itu TIDAK BERGUNA dan TAK DAPAT MENGUBAH APA-APA. Tindakan itu hanya akan menyebabkan lebih ramai anggota masyarakat memilih untuk menjadi ‘lalang’ di mana jika ianya berlaku, merupakan perkara yang sangat merugikan negara!

‘lalang’ : Menjadinya Bukan Pilihan

MatLuthfi tidak meninggalkan ‘penyelesaian’ yang jelas kepada kita selaku penonton. Mungkin MatLuthfi ingin kita berfikir dan mentafsir sendiri. Namun, natijahnya wujudlah pelbagai tafsiran yang boleh kita lihat daripada respon para penonton. Ada yang menafsirkan video itu ‘mengiktiraf’ sikap ‘lalang’ (di mana aku sangat tidak bersetuju degan tafsiran ini) dan tafsiran seperti yang aku fahami.

Jika kita teliti kembali, mesej yang sama juga harus dihayati oleh golongan ‘lalang’ iaitu, tindakan mereka untuk ‘tidak berbuat apa-apa’ juga tidak mampu mengubah keadaan. Walaupun mereka merasakan dengan ‘berdiam diri’ mereka telah terhindar daripada ‘mencetuskan perkelahian’ dan bersikap (baca: bajet) ‘neutral’, namun dengan ‘berdiam diri’ itu juga mereka secara tidak langsung merelakan apa yang mereka tidak persetujui.

Ini mengingatkan aku dengan satu quote yang sangat terkenal:

If you are neutral in situations of injustice, you have chosen the side of the oppressor. If an elephant has its foot on the tail of a mouse, and you say that you are neutral, the mouse will not appreciate your neutrality.”

(Desmond Tutu)

Jika kita sama-sama membukakan mata dan melihat realiti semasa, kita dapat merasakan ketidakadilan itu memang wujud. Banyak perkara yang tidak kena sedang berlaku dalam masayarakat kita. Sebagai contohnya: kenaikan harga barang, masalah sosial remaja dengan peningkatan kes buang bayi, hidup rakyat termiskin banyak yang tidak terbela, dan sebagainya.

Itu contoh yang kita boleh ‘rasa’ sebab ia dekat dengan kita. Kita sebagai pengguna dapat merasakan apabila harga barangan meningkat. Contohnya, apabila syarikat telco menaikkan caj penghantaran SMS, kita akan melenting. Ataupun, kita pasti pernah mendengar rungutan ibu bapa kita seperti, “Bulan lepas, harga tepung RM1.80 sekarang dah naik RM 2.40! Cekik darahnya!” dan lain-lain.

Masalah sosial? Lihat sahaja kawan-kawan kita. Di sekolah, universiti, di Facebook; lihat cara pergaulan mereka. Banyak aksi yang kalau diketahui oleh ibu bapa pasti akan mengecewakan para ibu bapa.

Itu satu dua contoh yang ‘dekat’ dengan kita. Tetapi untuk kita tidak ‘merasa apa-apa’ itu adalah sesuatu yang tidak kena.

Dalam diri kita perlu ada perasaan ‘there is something wrong somewhere’. Dengan tidak membutakan mata terhadap permasalahan inilah yang akan membawa kita – suka ataupun tidak suka – untuk cakna akan isu politik dan isu semasa.

Politics : It’s All About Governance!

Adalah mustahil jika masalah masyarakat dan negara ini tidak dikaitkan dengan politik kerana politics is all about governance! Politik adalah berkaitan dengan urusan pentadbiran (baca: masyarakat, negara). Presenting problem yang timbul pasti disebabkan actual problem yakni masalah berkaitan dasar atau ‘bersifat akar’.

Mungkin ada silap urus, mungkin ada cuai pada sikap mereka yang mengurus, dan lain-lain.

Sekadar Bergosip : Hindarkanlah

Seperkara lagi, jika kita pernah terdorong untuk berbicara isu politik dan semasa, elakkan butir bicara yang menyentuh hal peribadi. Contohnya (pengalaman sendiri ni), pernah seseorang menceritakan padaku, ada seorang menteri ini, sebelum beliau nak berjumpa orang ramai, beliau akan pakai lipstik (tapi memang betul pun, bibirnya selalu nampak merah – oh beliau adalah seorang lelaki).

Dalam erti kata lain, elakkan bercerita tentang apa-apa keaiban orang tersebut yang tidak melibatkan hak orang ramai. Tetapi, jika keaibannya itu melibatkan hak orang ramai seperti terdapat bukti jelas bahawa orang tersebut mengamalkan rasuah atau tanda-tanda mengamalkan rasuah (contohnya hidup terlampau mewah sedangkan kalau diikutkan gaji sebagai menteri tidak mungkin dapat hidup semewah itu), maka kita boleh persoalkan.

Ingin Mengubah : Usahakanlah

Seterusnya, kita perlu berfikir apakah cara-cara yang boleh kita lakukan agar isu politik atau isu semasa yang kita bicarakan tidak hanya terhenti pada sembang kedai kopi sahaja. Banyak yang kita boleh buat:-

Tulis surat. Lapor polis. Hantar memorandum. Menyertai demonstrasi yang terancang. Mengundi. Sertai parti politik. Sertai NGO dengan perjuangan tertentu. Terlibat dalam kempen kesedaran (e.g. melalui video, poster dll). Dan banyak lagi.

Terserah kepada kita CARA bagaimana dan SALURAN apa yang kita ingin gunakan. Apa yang penting, PERUBAHAN KEADAAN itu kita usahakan. Dalam membuat pilihan ‘cara bagaimana’ dan ‘saluran apa’ itu, kita ada sistem nilai untuk membuat pertimbangan. Buat yang muslim, kita tahu garisan halal-dan-haram. Untuk perkara yang  tidak pasti, kita ada ramai ulama’ untuk dijadikan rujukan.

Selari dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahkannya dengan tangan. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahkannya dengan lidahnya, dan jika dia tidak mampu maka hendaklah mengubahkannya dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim)

Akhir kata, kita ada tanggungjawab sosial dalam masyarakat. Apatah lagi buat umat islam, memelihara kepentingan sosial itu suatu kewajipan buat kita. Lihat saja bagaimana adab yang Rasulullah s.a.w. ajarkan kepada kita dalam melayani tetamu dan kehidupan berjiran. Itu bukti islam menjunjung nilai kemasyarakatan. Rasulullah s.a.w. juga memberikan teladan pemerintahan yang adil, itu bukti islam mengangkat nilai rakyat dan kenegaraan.

Oleh itu, menjadi ‘lalang’ bukan pilihan kita sama sekali.

Aku tidak tahu apakah apa yang aku faham daripada video “lalang” oleh MatLuthfi ini sama seperti yang MatLuthfi ingin sampaikan. Kalaulah MatLuthfi terbaca tulisan ini, harap MatLuthfi boleh betulkan saya kalau saya salah. Kalian yang membaca pun, jika ada pandangan lain yang ingin dikongsikan, adalah amat dialu-alukan. 🙂

Sekadar pandangan amatur walaupun cara tulis bajet macam penganalisis filem. Just kidding! 😛

Bacaan sisi: “Tamatkan Politik Fitnah” (tulisan yang baik oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah)

Allahu’alam.

Kudambakan Jua Untuk Malaysia

Subhanallahi wa bihamdih, subhanallah al-adzim.

Baru sahaja pulang ke rumah, usai tamatnya peperiksaan ketiga tadi. Allahu al-musta’an.

******

Baik, sekali lagi secara spontan, aku ingin mengongsikan beberapa gambar yang aku rasakan menarik yang baru aku lihat sebentar tadi. Disebabkan Facebook yang telah aku deactivate (alhamdulillah) sementara menunggu/menaiki bas, rutin membuka Facebook ditukar kepada membuka laman berita seperti Sinar Harian (much better than Berita Harian & Utusan!), Harakahdaily, ataupun Malaysian Insider.

Jadi, ketika membuka Malaysian Insider tadi, terpampang gambar ini:

First session of the newly elected parliament for Egypt

Subhanallah! Dalam sedar atau tidak, LEBIH SETENGAH daripada mereka merupakan insan-insan yang mempunyai fikrah islam! *terharu*

Apa yang menghairankan sangat, Parlimen Malaysia bukan lagi banyak daripada itukah Melayu-Islam yang jadi ahli parlimen?

Mungkin ada yang bertanya.

Itulah bezanya; muslim berfikrah islam dan muslim yang hanya bernama islam. Di Parlimen Malaysia, mungkin yang ramai itu ialah kategori yang kedua.

Bukanlah aku orang yang layak untuk melabel, malahan mungkin saja label yang aku berikan tidak adil atau tidak tepat. Cuma apa yang ingin aku nyatakan di sini ialah individu atau kumpulan yang mempunyai fikrah islam yang jelas mempunyai aspirasi yang jelas tentang tanggungjawab dan tujuan diri dihidupkan di dunia ini.

Tahu kenapa diri diciptakan.

Tahu ke mana diri ingin menuju.

Tahu apa panduan dan siapa contoh teladan.

Seperti yang terangkum dalam slogan Ikhwanul Muslimin dan lain-lain gerakan Islam seluruh dunia yang mempunyai aspirasi yang sama:

“Allah adalah tujuan kami,

Rasulullah teladan kami,

Al-Quran pedoman hidup kami,

Jihad adalah jalan juang kami,

Mati di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi!”

Bacaan doa sebelum bersidang
Sebahagian daripada ahli parlimen baru
Berdoa. Hanya ALLAH yang layak dijadikan tempat pergantungan dan penyerahan
Muslimat rules! Ahli parlimen muslimat daripada Freedom & Justice Party (FJP - Ikhwanul Muslimin)

[SUMBER]

Parlimen Mesir: Fakta Menarik

  • Hampir setengah daripada 498 kerusi parlimen dikuasai oleh IM (melalui parti mereka, FJP).
  • FJP mendapat majoriti (tetapi bukan majoriti mudah mahupun majoriti 2/3). Diikuti dengan Parti An-Nour (beraliran Salafi) di tempat kedua, dan puak liberal di tempat ketiga. Oleh kerana FJP tidak mendapat majoriti 2/3, mereka bersama-sama beberapa parti lain menubuhkan sebuah pakatan.
  • DAHULU, Ikhwanul Muslimin melalui parti politiknya terkenal dengan slogan, “Islam Sebagai Penyelesaian”. Cuba teka, apa slogan mereka gunakan kini? Jawapannya ialah, “Membawa Kebaikan (Kebajikan?) Untuk Mesir”

Adakah bermakusd IM telah ‘lari dari perjuangan asal’? (seperti kefahaman individu dan kumpulan tertentu terhadap sebuah parti islam yang dulunya menggunakan slogan “Membangun Bersama (Negara) Islam” kepada “Ke Arah Negara Berkebajikan”)

Maha Suci Allah. Dengan izin Allah, IM akan terus dengan agenda dan cita-cita mereka, begitu juga dengan parti islam yang disebutkan di atas. Namun, individu dan organisasi yang bijak (berhikmah) akan ‘meraikan’ suasana semasa agar tidak kelihatan ‘rigid’ dan dapat menzahirkan keindahan dan keadilan islam itu tanpa perlu terlalu obses dengan ‘label’ islam.

Ibu pejabat Ikhwanul Muslimin yang baru dirasmikan pada Mei 2011
  • Ikhwanul Muslimin telah DIHARAMKAN semenjak 60 tahun yang lalu dan akhirnya dapat kembali ke lapangan ‘dengan rasmi’ pada tahun lepas. Dalam tempoh pengaharaman IM tersebut (oleh regim zalim sebelum ini), ramai tokoh-tokoh IM dibunuh dan dipenjara; ada yang terselamat terpaksa menjadi pelarian di negara luar (khususnya di Britain & Eropah).

Betapa mahal harga sebuah perjuangan!

Teringat pada sunnah perjuangan yang tercatat dalam al-Quran:

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir memikirkan tipu daya terhadapmu (Muhammad) untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka membuat tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya”

(Surah al-Anfal: 30)

*maaf, mungkin banyak lagi fakta menarik, tak sempat nak kaji lanjut* (exam, exam) 😛

Di Mana Kita?

Banyak perkara besar mahupun kecil berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Sama ada berkait langsung dengan diri kita ataupun tiada kaitan dengan kita. Sesungguhnya, menjadi PILIHAN kita sama ada sesuatu perkara itu; besar atau kecil, berkait rapat ataupun tiada kaitan langsung dengan kita.

Salah satu perkara besar yang boleh berlaku (dan dijanjikan oleh Allah akan berlaku) ialah islam memerintah kembali di muka bumi ni sepertimana yang pernah Rasulullah s.a.w. bawa suatu ketika dahulu. Dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w berkata:

“Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah Zaman Kenabian sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki.”

Kemudian belakulah zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan sepertimana Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya.

Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang mengigit (malikun a’adhun) Berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya pula.

Kemudian berlakulah zaman penindasan dan zaman penzaliman (malikun jabbar) dan berlakulah zaman itu seperti mana yang Allah kehendaki.

Kemudian berlakulah pula zaman kekhalifahan (Imam Mahdi dan Nabi Isa as ) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian.”


Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam kitabnya Musnad Al Imam Ahmad bin Hanbal, Juzuk 4, halaman 273. Juga terdapat dalam kitab As-Silsilatus Sahihah, Jilid 1, hadis nombor 5.

Mungkin konteks ‘khilafah’ itu terlalu besar/global untuk digambarkan. Untuk lebih berpijak di bumi yang nyata, sebelum tahap ‘khilafah’ itu kita hendak capai, ia harus bermula dengan individu muslim itu sendiri. Di mana individu muslim perlulah berusaha mewujudkan ‘keluarga muslim’. Dengan ramainya individu-individu muslim dan keluarga mereka yang muslim, maka terlahirlah masyarakat yang muslim!

Oleh kerana hidup manusia ini memerlukan kepada suatu ‘sistem pengurusan sosial’ yang teratur, lantas kita memerlukan kepada sistem pemerintahan untuk mengurus tadbir manusia-manusia. Bukan sekadar manusia, malahan segala sumber alam (e.g. kayu balak, petroleum, sungai, etc) yang ada di dalam sesebuah negara perlu diuruskan dengan betul agar setiap individu terpelihara keperluan asas mereka dan dapat hidup sejahtera.

Sebagai orang islam, kita beriman bahawa islam sememangnya suatu sistem/cara hidup yang menyeluruh untuk mengendalikan semua yang tersebut di atas; sama ada untuk menguruskan diri sendiri, untuk menguruskan keluarga & masyarakat mahupun mentadbir negara dan segala isinya, semuanya sudah digariskan dalam islam!

Maka, mari kita tanya diri kita sekali lagi, di mana kita dalam ‘gambarajah’ ini?

Apa kaitan kita dalam ‘perkara besar’ ini? Apa peranan yang boleh kita mainkan? Apa bakat dan kemahiran yang boleh kita sumbangkan?

Mungkin ada yang akan menjadi ibu kepada generasi soleh dan solehah. Biarpun hanya di rumah membesarkan anak-anak, acuan islam digunakan untuk mendidik generasi yang akan mencapai kemenangan islam yang Allah janjikan.

Mungkin ada yang menjadi guru, biarpun bukan guru agama, namun penerapan nilai-nilai hidup berTuhan diselitkan di celah-celah pengajaran & pembelajaran bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, dan lain-lain.

Mungkin ada yang akan menjadi jurutera, tiada ijazah syariah seperti ustaz mahupun ustazah, tetapi melalui tugasnya itu ia berusaha memelihara alam sebaiknya, tidak mengambil rasuah untuk projek-projek yang diuruskan; taqwa pada Allah jadi bekalan bekerja.

Mungkin ada yang akan menjadi wakil rakyat, yang akan membawa suara rakyat ke Parlimen. Dia juga bertanggungjawab memastikan dasar-dasar yang digariskan dalam sidang Parlimen tidak bertentangan dengan perintah Allah. Segala yang dibahaskan dalam Parlimen memikirkan apakah yang terbaik untuk kebajikan rakyat.

Mungkin ada yang menjadi pemikir dan pembuat polisi untuk memastikan sistem ekonomi yang menggerakkan negara tidak akan ‘menyusahkan’ rakyat. Segala perancangan dibuat bukan untuk mengkayakan kroni tetapi untuk keadilan kepada rakyat agar yang kaya tidak terlampau kaya dengan ‘harga’ yang miskin menjadi papa kedana.

Ah, mungkin terlalu besar peranan-peranan yang aku jadikan sebagai contoh di atas. Jika kita serius memikirkan dan bertanya kepada diri, di mana kita dalam semua ini, yakinlah ada yang boleh kita sumbangkan.

Yang kreatif membuat video, boleh hasilkan video berunsur memperkenalkan manusia dengan kehidupan berTuhan.

Yang suka menyanyi, boleh menyebarkan kebaikan dengan lirik-lirik lagu yang mendekatkan manusia dengan Tuhan.

Yang ada Facebook, Twitter, mahupun blog, terbuka luas ruang untuk menyebarkan mesej islam; pilihan kita, apa yang mahu kita tuliskan.

Pastinya, da’wah fardhi sama ada dengan menjadi naqib/ah usrah atau tidak, menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarkan perkataan-perkataan yang baik. Persoalannya, mahukah kita terlibat dengannya?

Ah, terlalu banyak ruang di mana kita boleh meletakkan diri kita. Persoalannya kita mahu atau tidak?  Mahu syurga atau tidak?

Waima, sekecil perbuatan ‘mengundi’ pun, kita boleh berperanan dalam menegakkan tuntutan islam!

Mungkin ada yang skeptik akan mengatakan, ‘Alah,  dia ni, kalau tak kaitkan dengan politik tak sah!

Bolehkah aku mengelak, jika aku benar ingin mencapai tujuan diri ini diciptakan – sebagai hamba dan khalifah Allah; bagaimana boleh untuk aku pisahkan antara mentaati Allah secara peribadi dengan mentaati Allah dalam pentadbiran negara?

Betulkah fikrah islamku jika aku hanya solat 5 waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, dan menunaikan haji tetapi harta negara (e.g. sumber alam, cukai rakyat, dsb) diperlakukan sewenang-wenangnya, aku biarkan saja?

Betulkah fikrah islamku jika keenggananku untuk ‘campur tangan’ atau ‘ambil kisah’ tentang pentadbiran negara menatijahkan insan yang tidak amanah memimpin negara dan seterusnya menzalimi golongan tertentu dalam kalangan rakyat jelata?

Kudambakan Jua Untuk Malaysia

Aku harap kebaikan dunia dan akhirat yang aku dambakan untuk Malaysia dan seluruh rakyatnya akan berjaya dicapai dengan kesatuan dan kesungguhan kita bersama.

Jika kita sudah ‘nampak’ di mana kita boleh berada dalam mencapai ‘cita-cita besar’ ini, maka pastinya yang paling utama adalah mempersiapkan diri dengan ILMU. Biarlah spektrum pengetahuan kita luas dan tidak sempit pada kursus yang kita sedang ambil mahupun pada perkara yang kita minat sahaja.

Lihat ke depan dan sekeliling, apa yang diperlukan oleh sekeling kita dalam merealisasikan ‘cita-cita besar’ itu?

Adakah perlu lebih ramai daie? Adakah perlu lebih ramai pemikir/pembuat polisi? Adakah perlu lebih ramai penyanyi? Atau pun yang lain-lain.

Kenal pasti apa yang diperlukan dan buatlah pilihan di sudut mana kita mahu menyumbang. Setelah itu, rancanglah kehidupan sesuai dengan apa yang ingin kita lakukan atau sumbangkan tersebut.

Penutup

Umpama permainan bola sepak; apakah kita mahu menjadi pemain di tengah padang ataupun hanya penyorak di tepi padang?

Peringatan buat diri terutamanya. Kepada Allah kita mohon agar sentiasa diberikan petunjuk dan kekuatan untuk melakukan kebaikan.

Allahu’alam.

Ada Apa Dengan Mahasiswa?

Sejak peristiwa 17 Disember lalu, “mahasiswa” tiba-tiba menjadi isu panas di tanah air kita. Apa terjadi pada 17 Disember 2011 lalu? Aku rasa, semua orang yang tengok TV, baca surat khabar, atau kalau tidak pun, cukup orang itu buka Facebook hari-hari; adalah tidak logik untuk tidak perasan tentang peristiwa 17 Disember 2011 itu.

Pada mulanya, aku pun tak pasti aku berada di pihak mana. Menyokong? Membantah? Berkecuali?

Aku teringat, semasa dalam bas daripada Exeter ke Heatree Activity Centre (Devon) untuk ke FUIYO 2011, tatkala majoriti penumpang dalam bas itu tidur (sebab bas sunyi sepi), seorang junior telah bertanya kepadaku, “Apa pendapat Kak Sya tentang benda tu (baca: Adam Adli turun bendera)?” Junior tersebut baru kembali daripada percutian di Turki dan kami berborak tentang perkembangan semasa ketika itu.

Sukar untuk aku jawab. Terlalu banyak kritikan dan komen negatif tentang peristiwa itu dan aku tak tahu apa kedudukan sebenar yang berlaku. Lalu aku hanya mengongsikan salah satu statusku di Facebook yang lebih kurang maksudnya; “Kalau kita kata tindakan Mohamed Bouazizi di Tunisia itu yang telah membakar dirinya di khalayak itu salah, siapa sangka kesannya sangat besar sehingga tercetusnya Revolusi Arab / Arab Spring di Timur Tengah.”

Tidak berani aku mengaku aku menyokong tindakan Adam Adli itu betul dan tidak yakin juga untuk aku katakan dia salah.

Betul atau salah sesuatu tindakan itu tiba-tiba menjadi sesuatu yang subjektif. Patutnya benda yang betul dan salah itu bersifat hitam dan putih.

Rakyat Dikaburi

Baru-baru ini sahaja baru aku berpeluang untuk dapat sedikit sebanyak gambaran yang berlaku sebenarnya. Selepas mereka yang terlibat membuat penerangan kepada umum; sama ada secara bertulis mahupun melalui ceramah-ceramah yang diadakan. Kalau nak harap surat khabar utama tanah air, susah nak dapat ‘cerita sebenar’. Ada saja manipulasi untuk menguntungkan pihak tertentu. Haih.

Antaranya rakaman video forum bertajuk “Adam Adli, Kebebasan Akademik, dan Kebangkitan Mahasiswa” yang aku rasa agak ringkas dan padat untuk dapat gambaran sebenar apa yang berlaku (dan juga peristiwa berdarah di UPSI pada awal pagi 1 Januari 2012). Segala rentetan peristiwa dan mengapa semuanya terjadi.

Cuma mungkin, tak berapa puas hati dengan penerangan tentang peristiwa di UPSI sebab tak dapat lagi cerita penuh yang jelas dan media pula sememangnya membuat kutukan yang dahsyat kepada mahasiswa yang terlibat dalam peristiwa itu.

Salah satu perkara yang menyedarkan aku selepas menonton rakaman forum tersebut ialah betapa kita (baca: masyarakat) telah berjaya dimanipulasikan oleh media untuk fokus pada isu yang salah. Bukan tindakan Adam Adli menurunkan bendera seharusnya menjadi perhatian tetapi apa yang diperjuangkan oleh mahasiswa sebenarnya.

Setakat yang kita baca-baca, tahukah kita apa yang mereka perjuangkan sebenarnya?

Kalau dengar daripada mulut Adam Adli sendiri tentang tindakannya itu, aku merasakan terlalu spontan dan simple rupanya perkara menurunkan bendera itu. (ya, mungkin ini hanya persepi aku dan kalian mungkin ada persepsi sendiri) *dengar penjelasan Fahmi Reza dalam forum itu untuk lanjut*

Isu yang dibawa lebih besar daripada itu. *sekali lagi, tengok video untuk lanjut* 🙂

Betul Atau Salah?

Hingga saat ini, masih terlalu subjektif untuk dikatakan apa yang betul dan apa yang salah dalam segala rentetan peristiwa yang berlaku itu. Aku baca berita yang berkaitan, artikel-artikel berkaitan, masih terlalu ramai yang mengkritik tindakan Adam Adli dan semakin kuat kedengaran kata-kata seperti, “Pergi universiti untuk BELAJAR, bukan untuk berpolitik / berdemonstrasi!” dan banyak lagi.

Kalau ada yang kata betul, ada juga yang kata salah. Dan ini bergantung kepada sejauh mana maklumat yang orang itu ada. Sejauh mana dia faham perkara itu dari A sampai Z. Sejauh mana pendirian dia adalah berdasarkan sentimen emosi khususnya disebabkan pengaruh media yang sangat kuat momokannya, ataupun bukan.

Apatah lagi jika ingin dipersoalkan, ‘kurang ajarkah tidak?’, ‘profesionalkah tidak?’, dan lain-lain yang boleh dipersoalkan; semuanya bersifat subjektif.

Jadi, aku suka ambil contoh Mohamed Bouazizi tadi; mungkin pada keadaan normal, orang akan kata tindakannya sebagai ‘bodoh’ (yalah, bakar diri sendiri tu!).

Tapi kita perlu LIHAT bagaimana KESAN daripada cara dia mengekspresikan rasa tidak puas hatinya kepada kesempitan hidup yang dia alami dalam pemerintahan regim yang zalim (Zinedine Ben Ali) menyebabkan kebangkitan rakyat Arab yang lain dan akhirnya dengan izin Allah menjatuhkan pemimpin diktator seperti Hosni Mubarak di Mesir, Muammar Gaddafi di Libya, dan Zinedine Ben Ali sendiri di Tunisia!

Apa lagi impak “tindakan bodoh” itu?

Alhamdulillah, parti islamist telah berjaya mendapat kepercayaan rakyat di Tunisia (Parti an-Nahdah) yang kebanyakan daripada menteri-menterinya pernah dipenjara akibat sekatan politik yang dikenakan ke atas mereka. Begitu juga dengan Ikhwanul Muslimin di Mesir (pelopor gerakan kebangkitan islam pasca kejatuhan khilafah 1924) telah mendapat kepercayaan rakyat Mesir melalui kemenangan majoriti parti mereka Freedom & Justice Party (FJP) dalam pilihanraya baru-baru ini.

Mahasiswa Betul Atau Salah: Satu Subjektiviti

Oleh itu, untuk menentukan betul atau salah perkembangan semasa mahasiswa di Malaysia, ia akan bergantung pada nilai diri individu dan juga kefahaman yang menyeluruh terhadap konteks perjuangan mahasiswa itu.

Bagi aku, apa yang salah tetap salah, contohnya menumbuk orang (bukan untuk mempertahankan diri) itu salah kerana ia merupakan satu kezaliman. Ataupun memberi atau menerima rasuah itu pun salah sebab ianya nyata haram dalam islam. Menuduh orang lain berzina/meliwat tanpa 4 orang saksi yang adil pun salah dan terjatuh dalam kategori dosa besar.

Perkara yang boleh dinilai mengikut konteks, mungkin ada ruang-ruang yang boleh untuk kita jadi lebih fleksibel – bukan bermasud untuk memberi lesen kepada tindakan ‘membenarkan yang salah’ atau ‘menyalahkan yang betul’ demi keuntungan diri kita tetapi kita haruslah berfikir dan bertindak menurut keperluan masyarakat semasa.

Tapi apa-apa pun, harapnya kita tidak menjadi golongan yang paling malang yakni golongan ‘ada aku kesah!‘ yang merasakan buat kerja sendiri, berjaya sendiri, senang sendiri sahaja matlamat untuk hidup ini. Kalau yang islam, cara fikir itu sudah semestinya salah kerana sebagai orang islam kita beriman akan kewajipan manusia hidup di dunia ini untuk jaga diri kita dan juga jaga kepentingan sosial masyarakat kita.

Mungkin terakhir, satu lagi video yang menarik dan menganjak paradigma aku tentang gerakan mahasiswa ini ialah presentation Fahmi Reza tentang sejarah gerakan mahasiswa. Daripada pembentangan beliau tersebut, aku merasakan betapa bezanya mahasiswa zaman sekarang dan zaman 60’an dahulu umpama langit dan bumi!

Bak kata orang tua-tua, mahasiwa zaman 60’an dah boleh jadi mak-bapak orang dah (disebabkan kedewasaan mereka) tetapi mahasiswa sekarang ini hingus pun masih meleleh dan perlukan orang tua pula untuk mengelap hingus mereka! Padahal umur yang sama ketika menjadi mahasiswa namun mentaliti yang jauh berbeza.

Ini videonya:

*kalau dapat dengar full lecture ni, mesti best*

Pengajaran

Asalnya nak post video saja, last-last jadilah juga sebuah blogpost. Sementara idea tengah ada, tulis sajalah. Nanti kalau tunda dan idea hilang, tak tahu nak tulis apa. 😛

Apa-apa pun, mesej yang nak disampaikan ialah: hati-hati ketika menilai maklumat (peringatan buat diri terutamanya), cuba nilai dari semua sudut rather than terperangkap dengan jerat emosi penyampai maklumat (e.g. surat khabar, TV, blog, dll). Kemudian, bila disebut ‘mahasiwa berpolitik’, mungkin perlu elak daripada terperangkap dengan menyempitkan maknanya kepada ‘masuk parti politik’.

Dulu kalian pernah jadi anggota Lembaga Pengawas Sekolah, jadi pimpinan Persatuan Pelajar Islam di sekolah ataupun Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR) – bukankah semua itu melibatkan aktiviti politik? Secara ringkasnya, politics is about governance!

Memang rugi kalau kefahaman kita tentang sesuatu perkara didominasikan oleh satu sumber sahaja seperti TV. Lagi-lagi sumber itu bukanlah sumber yang boleh dipercayai sangat kredibilitinya. Jadi, jika ada peluang, mungkin kita boleh luaskan pembacaan kita dengan merujuk pada sumber yang ada kredibiliti.

Aku dah berkali-kali ‘ditegur’ tentang keperluan meluaskan horizon kefahaman agar pendapat yang aku tulis atau idea yang aku lontarkan tidak sempit atau dangkal mahupun berat sebelah. Namun aku akui, sangat mencabar proses untuk ‘mengupgradekan’ diri itu. Iyalah, bukankah lebih mudah dan tak pening kepala baca tulisan-tulisan pendek di blog daripada membaca buku-buku tentang pemikiran dan falsafah yang berat-berat. ^^

InsyaAllah moga aku mampu.

Terima kasih kepada yang sudi menegur.

Penutup

Hah, panjang juga aku mengomel. Ini pun tak semua yang aku ingin luahkan terluah dalam tulisan di atas (exam, exam) 😛

Ada satu isu yang mengganggu aku juga ialah berkenaan ‘pejuang islam’ yang hangat di pasaran kini.

Satu kesimpulan yang aku boleh kongsikan, islam bukan agama yang suruh kita ajak orang mengtauhidkan Allah semata-mata tetapi kewajipan yang terangkum dalam penyaksian itu lebih luas termasuklah mengurus tadbir manusia dengan cara yang Allah redha; yakni dari segi ekonominya, sosialnya, hal-ehwal wanitanya, (hatta hal ehwal sukan pun!) dan pelbagai lagi aspek lain.

Tapi mengapa sesetengah pihak tersebut perlu menyempitkan “perjuangan islam” mereka kepada menaikkan bangsa semata? Kita bukan hanya perlu jaga kebajikan agama dan bangsa kita tetapi seluruh warganegara tak kira bangsa mahupun agama. Itu yang Rasulullah dan para Khulafa’ ar-Rasyidin buat.

Kalau kita rasa masalah zina dan arak itu merosakaan bangsa Melayu dan kita perlu ‘selamatkan’ orang Melayu daripada masalah ini,  hakikatnya ia juga merosakkan bangsa lain, dan kita juga perlu ‘selamatkan’ sesiapa sahaja yang menjadi rosak kerananya.

Persoalannya, sejauh mana kita (atau yang lebih tepat, para pemimpin) berhikmah dalam memberikan solusi yang digariskan oleh islam tanpa menyebabkan rakyat pelbagai bangsa terasa mereka didiskriminasi dan menganggap kita cuba memaksakan sistem yang teokratik ke atas mereka.

Bah, cukuplah setakat tok. Hehe.

Akhir kata, doakan yang terbaik untukku dalam menghadapi peperiksaan yang masih berbaki ini. InsyaAllah yang seterusnya pada hari Isnin, Khamis, dan Jumaat minggu depan. Bittaufik wannajah buat yang sedang exam juga di luar sana!

Allahu’alam.

A Touching Story

“Dua setengah tahun hidup kami tertekan, seperti mati perlahan-lahan. Fitnah memang racun yang membunuh…”

************

ABANG Nuar sudah siap berpaka-ian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplemen yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.

Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?

“Ya RABB. Jauhilah kami dari berita duka itu.”

Abang Nuar seperti dapat membaca kata hati saya.

“Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama.”

Abang Nuar tenang. Saya semakin pilu.

Sudah banyak dugaan yang kami lalui sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecil saya. Amat berat.

Namun saya tetap yakin, ALLAH menduga setakat mampu umatnya.

“Ya RAHMAN… jika ini laluan yang ENGKAU tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan.”

Dua setengah tahun hidup kami tertekan, seperti mati perlahan-lahan. Fitnah memang racun yang membunuh.

Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati TUHAN. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan.

“Ya AZIZ… Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan. Ya JALIL… berilah kami kemuliaan.

Anak-anak dan menantu semua sudah sedia.

Ini juga kebesaran TUHAN. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu.

Mata anak-anak pula saya tatap. Satu persatu, silih berganti.

Ya mereka tenang. Mahu melangkah keluar meneman ayah tersayang tanpa garis-garis kedukaan.

Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama.

Malam tadi, pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sudah bertemu pagi. Kami kelaparan. Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa.

Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?

“Ya RAHMAN… Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan Ya RABB. Jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!”

Sepanjang perjalanan ke mahkamah, saya tidak pernah berhenti berdoa. Moga apa yang bermain di fikiran TUHAN akan terbalikkan.

Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta sudah penuh dengan manusia. Saya terasa gementar. Namun saya mesti kuat. Kami sudah menghampiri bangunan yang akan menentukan nasib Abang Nuar hari ini. Jadi kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan.

Melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, hati saya kembali tidak keruan. Mula berbolak-balik. Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?

Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah… walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda.

Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.

“Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan.”

“Ya ALLAH… rahmat apakah yang KAU berikan kepada kami.

“Ya SAMIE’…terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini.”

Abang Nuar bebas!

Saya menangis. Anak-anak menangis.

Saya merangkul erat Abang Nuar. Abang Nuar membalas kejap. Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada ALLAH.

Saya perhati anak-anak. Mereka juga berpelukan.

Saat ini terasa lerai derita dari tubuh. Lerai sengsara dari jiwa.

‘Ya ‘ALIEM…ENGKAULAH yang lebih mengetahui.

“Ya HAKIM… ENGKAULAH sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu.

“Syukur Ya ALLAH kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira.”

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Segambut. Menunaikan solat Syukur tanda terima kasih kepada TUHAN.

Hari ini dada kami sudah lapang. Senyum kami masih bersisa walau tangis masih ada.

“Terima kasih Ya ALLAH. KAU jawab munajat kami, KAU lerai derita kami.”

[Sumber: Sinar Harian, 9 Januari 2012]

************

For those who know me, they would notice that I rarely copied and pasted any articles on this blog (because in my opinion, it’s kind of defeating the purpose of having a personal blog if the blog is full with other people’s thoughts or articles, etc).

However I can’t resist it this time. This story is a very inspiring story. Not only what’s written above. Although it is a story of a day in her life, the whole story has started since a very long time ago. They’ve been through what no other couples or families have been through. The slander, the lies, the injustice, and only Allah knows what else that they’ve been through.

At times when many married couples chose to be divorced for whatever trivial reasons they might have, this couple remains to be loyal to each other, with the Will of Allah. May they always be in the protection of Allah.

What makes them so different with any other couples? They’ve been through unimaginable hardships in their life not because what happen under their roof only but their concern for the people who had to live with no roof (a metaphor; due to economic and social injustice).

And no, I’m not trying to imply that they are perfect. I just think that there’s a lot that we can learn from them; as a father, a husband, a mother, a wife other than as a concerned citizen towards our people and our country.

Another interesting read on #901 from SarawakReport (there’s a link in this article which contains a useful summary of the case)

On why we shouldn’t ever believe the alleged sodomy case, a logical answer by Tok Guru:

“Kalau tengok pada zahir pun, nampak terang-terang jahat. Anwar ni, fizikal dia, nak bawa diri pun teruk nampak. Nak duduk, sakit.  Nak bangun, lebih sakit lagi. Kerana belakang dia dah dirosakkan masa dalam jel. Orang macam ini macam mana nak guna xxxx dengan orang muda…orang muda boleh tendang Anwar Ibrahim kerana fizikal dia…”

p.s. pardon me for my ugly english, if it is ugly 😛

Allahu’alam.

Final

InsyaAllah, aku akan menduduki final exam (yang paling FINAL) bermula 17 Januari 2012 ini dan tamat pada 27 Januari 2012. Ada 5 subjek semuanya.

Legal & Waste Management

Microprocess Engineering

Advanced Materials & Porous Solids

Advanced Biochemical Engineering

Advanced Chemical Engineering

InsyaAllah, inilah peperiksaan bertulis yang terakhir sebelum aku menamatkan degreeku ini. Awal bulan Februari, kami akan memulakan final year project secara individu dan berkumpulan, tiada lagi peperiksaan bertulis selepas itu.

Mohon kalian turut mendoakan yang terbaik untukku! Semoga Allah memberikan yang terbaik untuk kita semua dan mempermudahkan segala urusan ulangkaji dan persediaan untuk exam. Allahumma ameen. 🙂

Bangunan 9West - Department of Chemical Engineering, University of Bath *gambar sekadar hiasan*

Akhir kata, sebagai renungan bersama:

 “Maka mengapa mereka mencari agama lain selain agama Allah, sedangkan apa yang ada di langit dan di bumi menyerah diri kepada-Nya, dalam keadaan rela ataupun terpaksa dan hanya kepada-Nyalah mereka dikembalikan?”

(Surah al-Imran: 83)

Seeru ‘ala barakatillah!

Allahu’alam.