Ada Apa Dengan Mahasiswa?

Sejak peristiwa 17 Disember lalu, “mahasiswa” tiba-tiba menjadi isu panas di tanah air kita. Apa terjadi pada 17 Disember 2011 lalu? Aku rasa, semua orang yang tengok TV, baca surat khabar, atau kalau tidak pun, cukup orang itu buka Facebook hari-hari; adalah tidak logik untuk tidak perasan tentang peristiwa 17 Disember 2011 itu.

Pada mulanya, aku pun tak pasti aku berada di pihak mana. Menyokong? Membantah? Berkecuali?

Aku teringat, semasa dalam bas daripada Exeter ke Heatree Activity Centre (Devon) untuk ke FUIYO 2011, tatkala majoriti penumpang dalam bas itu tidur (sebab bas sunyi sepi), seorang junior telah bertanya kepadaku, “Apa pendapat Kak Sya tentang benda tu (baca: Adam Adli turun bendera)?” Junior tersebut baru kembali daripada percutian di Turki dan kami berborak tentang perkembangan semasa ketika itu.

Sukar untuk aku jawab. Terlalu banyak kritikan dan komen negatif tentang peristiwa itu dan aku tak tahu apa kedudukan sebenar yang berlaku. Lalu aku hanya mengongsikan salah satu statusku di Facebook yang lebih kurang maksudnya; “Kalau kita kata tindakan Mohamed Bouazizi di Tunisia itu yang telah membakar dirinya di khalayak itu salah, siapa sangka kesannya sangat besar sehingga tercetusnya Revolusi Arab / Arab Spring di Timur Tengah.”

Tidak berani aku mengaku aku menyokong tindakan Adam Adli itu betul dan tidak yakin juga untuk aku katakan dia salah.

Betul atau salah sesuatu tindakan itu tiba-tiba menjadi sesuatu yang subjektif. Patutnya benda yang betul dan salah itu bersifat hitam dan putih.

Rakyat Dikaburi

Baru-baru ini sahaja baru aku berpeluang untuk dapat sedikit sebanyak gambaran yang berlaku sebenarnya. Selepas mereka yang terlibat membuat penerangan kepada umum; sama ada secara bertulis mahupun melalui ceramah-ceramah yang diadakan. Kalau nak harap surat khabar utama tanah air, susah nak dapat ‘cerita sebenar’. Ada saja manipulasi untuk menguntungkan pihak tertentu. Haih.

Antaranya rakaman video forum bertajuk “Adam Adli, Kebebasan Akademik, dan Kebangkitan Mahasiswa” yang aku rasa agak ringkas dan padat untuk dapat gambaran sebenar apa yang berlaku (dan juga peristiwa berdarah di UPSI pada awal pagi 1 Januari 2012). Segala rentetan peristiwa dan mengapa semuanya terjadi.

Cuma mungkin, tak berapa puas hati dengan penerangan tentang peristiwa di UPSI sebab tak dapat lagi cerita penuh yang jelas dan media pula sememangnya membuat kutukan yang dahsyat kepada mahasiswa yang terlibat dalam peristiwa itu.

Salah satu perkara yang menyedarkan aku selepas menonton rakaman forum tersebut ialah betapa kita (baca: masyarakat) telah berjaya dimanipulasikan oleh media untuk fokus pada isu yang salah. Bukan tindakan Adam Adli menurunkan bendera seharusnya menjadi perhatian tetapi apa yang diperjuangkan oleh mahasiswa sebenarnya.

Setakat yang kita baca-baca, tahukah kita apa yang mereka perjuangkan sebenarnya?

Kalau dengar daripada mulut Adam Adli sendiri tentang tindakannya itu, aku merasakan terlalu spontan dan simple rupanya perkara menurunkan bendera itu. (ya, mungkin ini hanya persepi aku dan kalian mungkin ada persepsi sendiri) *dengar penjelasan Fahmi Reza dalam forum itu untuk lanjut*

Isu yang dibawa lebih besar daripada itu. *sekali lagi, tengok video untuk lanjut*🙂

Betul Atau Salah?

Hingga saat ini, masih terlalu subjektif untuk dikatakan apa yang betul dan apa yang salah dalam segala rentetan peristiwa yang berlaku itu. Aku baca berita yang berkaitan, artikel-artikel berkaitan, masih terlalu ramai yang mengkritik tindakan Adam Adli dan semakin kuat kedengaran kata-kata seperti, “Pergi universiti untuk BELAJAR, bukan untuk berpolitik / berdemonstrasi!” dan banyak lagi.

Kalau ada yang kata betul, ada juga yang kata salah. Dan ini bergantung kepada sejauh mana maklumat yang orang itu ada. Sejauh mana dia faham perkara itu dari A sampai Z. Sejauh mana pendirian dia adalah berdasarkan sentimen emosi khususnya disebabkan pengaruh media yang sangat kuat momokannya, ataupun bukan.

Apatah lagi jika ingin dipersoalkan, ‘kurang ajarkah tidak?’, ‘profesionalkah tidak?’, dan lain-lain yang boleh dipersoalkan; semuanya bersifat subjektif.

Jadi, aku suka ambil contoh Mohamed Bouazizi tadi; mungkin pada keadaan normal, orang akan kata tindakannya sebagai ‘bodoh’ (yalah, bakar diri sendiri tu!).

Tapi kita perlu LIHAT bagaimana KESAN daripada cara dia mengekspresikan rasa tidak puas hatinya kepada kesempitan hidup yang dia alami dalam pemerintahan regim yang zalim (Zinedine Ben Ali) menyebabkan kebangkitan rakyat Arab yang lain dan akhirnya dengan izin Allah menjatuhkan pemimpin diktator seperti Hosni Mubarak di Mesir, Muammar Gaddafi di Libya, dan Zinedine Ben Ali sendiri di Tunisia!

Apa lagi impak “tindakan bodoh” itu?

Alhamdulillah, parti islamist telah berjaya mendapat kepercayaan rakyat di Tunisia (Parti an-Nahdah) yang kebanyakan daripada menteri-menterinya pernah dipenjara akibat sekatan politik yang dikenakan ke atas mereka. Begitu juga dengan Ikhwanul Muslimin di Mesir (pelopor gerakan kebangkitan islam pasca kejatuhan khilafah 1924) telah mendapat kepercayaan rakyat Mesir melalui kemenangan majoriti parti mereka Freedom & Justice Party (FJP) dalam pilihanraya baru-baru ini.

Mahasiswa Betul Atau Salah: Satu Subjektiviti

Oleh itu, untuk menentukan betul atau salah perkembangan semasa mahasiswa di Malaysia, ia akan bergantung pada nilai diri individu dan juga kefahaman yang menyeluruh terhadap konteks perjuangan mahasiswa itu.

Bagi aku, apa yang salah tetap salah, contohnya menumbuk orang (bukan untuk mempertahankan diri) itu salah kerana ia merupakan satu kezaliman. Ataupun memberi atau menerima rasuah itu pun salah sebab ianya nyata haram dalam islam. Menuduh orang lain berzina/meliwat tanpa 4 orang saksi yang adil pun salah dan terjatuh dalam kategori dosa besar.

Perkara yang boleh dinilai mengikut konteks, mungkin ada ruang-ruang yang boleh untuk kita jadi lebih fleksibel – bukan bermasud untuk memberi lesen kepada tindakan ‘membenarkan yang salah’ atau ‘menyalahkan yang betul’ demi keuntungan diri kita tetapi kita haruslah berfikir dan bertindak menurut keperluan masyarakat semasa.

Tapi apa-apa pun, harapnya kita tidak menjadi golongan yang paling malang yakni golongan ‘ada aku kesah!‘ yang merasakan buat kerja sendiri, berjaya sendiri, senang sendiri sahaja matlamat untuk hidup ini. Kalau yang islam, cara fikir itu sudah semestinya salah kerana sebagai orang islam kita beriman akan kewajipan manusia hidup di dunia ini untuk jaga diri kita dan juga jaga kepentingan sosial masyarakat kita.

Mungkin terakhir, satu lagi video yang menarik dan menganjak paradigma aku tentang gerakan mahasiswa ini ialah presentation Fahmi Reza tentang sejarah gerakan mahasiswa. Daripada pembentangan beliau tersebut, aku merasakan betapa bezanya mahasiswa zaman sekarang dan zaman 60’an dahulu umpama langit dan bumi!

Bak kata orang tua-tua, mahasiwa zaman 60’an dah boleh jadi mak-bapak orang dah (disebabkan kedewasaan mereka) tetapi mahasiswa sekarang ini hingus pun masih meleleh dan perlukan orang tua pula untuk mengelap hingus mereka! Padahal umur yang sama ketika menjadi mahasiswa namun mentaliti yang jauh berbeza.

Ini videonya:

*kalau dapat dengar full lecture ni, mesti best*

Pengajaran

Asalnya nak post video saja, last-last jadilah juga sebuah blogpost. Sementara idea tengah ada, tulis sajalah. Nanti kalau tunda dan idea hilang, tak tahu nak tulis apa.😛

Apa-apa pun, mesej yang nak disampaikan ialah: hati-hati ketika menilai maklumat (peringatan buat diri terutamanya), cuba nilai dari semua sudut rather than terperangkap dengan jerat emosi penyampai maklumat (e.g. surat khabar, TV, blog, dll). Kemudian, bila disebut ‘mahasiwa berpolitik’, mungkin perlu elak daripada terperangkap dengan menyempitkan maknanya kepada ‘masuk parti politik’.

Dulu kalian pernah jadi anggota Lembaga Pengawas Sekolah, jadi pimpinan Persatuan Pelajar Islam di sekolah ataupun Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR) – bukankah semua itu melibatkan aktiviti politik? Secara ringkasnya, politics is about governance!

Memang rugi kalau kefahaman kita tentang sesuatu perkara didominasikan oleh satu sumber sahaja seperti TV. Lagi-lagi sumber itu bukanlah sumber yang boleh dipercayai sangat kredibilitinya. Jadi, jika ada peluang, mungkin kita boleh luaskan pembacaan kita dengan merujuk pada sumber yang ada kredibiliti.

Aku dah berkali-kali ‘ditegur’ tentang keperluan meluaskan horizon kefahaman agar pendapat yang aku tulis atau idea yang aku lontarkan tidak sempit atau dangkal mahupun berat sebelah. Namun aku akui, sangat mencabar proses untuk ‘mengupgradekan’ diri itu. Iyalah, bukankah lebih mudah dan tak pening kepala baca tulisan-tulisan pendek di blog daripada membaca buku-buku tentang pemikiran dan falsafah yang berat-berat. ^^

InsyaAllah moga aku mampu.

Terima kasih kepada yang sudi menegur.

Penutup

Hah, panjang juga aku mengomel. Ini pun tak semua yang aku ingin luahkan terluah dalam tulisan di atas (exam, exam)😛

Ada satu isu yang mengganggu aku juga ialah berkenaan ‘pejuang islam’ yang hangat di pasaran kini.

Satu kesimpulan yang aku boleh kongsikan, islam bukan agama yang suruh kita ajak orang mengtauhidkan Allah semata-mata tetapi kewajipan yang terangkum dalam penyaksian itu lebih luas termasuklah mengurus tadbir manusia dengan cara yang Allah redha; yakni dari segi ekonominya, sosialnya, hal-ehwal wanitanya, (hatta hal ehwal sukan pun!) dan pelbagai lagi aspek lain.

Tapi mengapa sesetengah pihak tersebut perlu menyempitkan “perjuangan islam” mereka kepada menaikkan bangsa semata? Kita bukan hanya perlu jaga kebajikan agama dan bangsa kita tetapi seluruh warganegara tak kira bangsa mahupun agama. Itu yang Rasulullah dan para Khulafa’ ar-Rasyidin buat.

Kalau kita rasa masalah zina dan arak itu merosakaan bangsa Melayu dan kita perlu ‘selamatkan’ orang Melayu daripada masalah ini,  hakikatnya ia juga merosakkan bangsa lain, dan kita juga perlu ‘selamatkan’ sesiapa sahaja yang menjadi rosak kerananya.

Persoalannya, sejauh mana kita (atau yang lebih tepat, para pemimpin) berhikmah dalam memberikan solusi yang digariskan oleh islam tanpa menyebabkan rakyat pelbagai bangsa terasa mereka didiskriminasi dan menganggap kita cuba memaksakan sistem yang teokratik ke atas mereka.

Bah, cukuplah setakat tok. Hehe.

Akhir kata, doakan yang terbaik untukku dalam menghadapi peperiksaan yang masih berbaki ini. InsyaAllah yang seterusnya pada hari Isnin, Khamis, dan Jumaat minggu depan. Bittaufik wannajah buat yang sedang exam juga di luar sana!

Allahu’alam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s