Terlebih Seringgit

Pagi ini singgah di gerai kuih yang biasa disinggahi pada hari-hari bekerja.

Sebaik sampai di gerai itu, kelihatan seorang lelaki dan anak lelakinya sedang menjaga gerai itu. Bukan makcik yang biasa aku jumpa di hari-hari lain.

Ketika itu si bapa sedang melayan pelanggan lain yang ingin membeli nasi lemak. Dan aku dengan budak lelaki kecil itu. Dia sedang asyik mengipas-ngipaskan kuihnya dengan plastik bagi menghalau anasir-anasir yang tak diingini.

“Dik, minta plastik satu,” pintaku padanya. Terkocoh-kocoh dia mengambilkan sehelai plastik untukku. Aku boleh lihat plastik yang dia ambil itu agak besar, boleh muat satu bekas polisterin.

Agaknya bapanya pun menyedari hal itu lalu menegurnya.

“Besar tu, ni guna yang kecil ni. Itulah kau, main-main saja,” kata bapanya sambil menyerahkan kepadaku plastik yang lebih kecil. Si anak menggaru-garu kepala ‘kekonfiusan’ dan tersengih mengenangkan ragam dirinya sebentar tadi.

Seperti biasa, aku mengambil 3 biji kuih. Cukup seringgit. Aku serahkan sekeping not RM5 kepadanya. Dia melihat ke arah plastik kuihku yang kuunjukkan padanya. Mengira-ngira barangkali.

“Seringgit kan?” tanyanya.

“Ya,” balasku ringkas. Dia ke bekas duit dan mengambil not-not seringgit.

“Nah,” katanya sambil menghulurkan not-not seringgit padaku. Aku sambut dan mengucapkan terima kasih padanya.

Sambil hendak berjalan menuju ke kereta, aku perasan yang budak itu memberikan 5 keping not seringgit kepadaku. Aku kembali padanya dan berkata, “Eh dik, terlebih seringgit ni.”

Sekali lagi dia tersengih dan mengambil kembali not seringgit itu.

“Nah, nah, tengok tu. Apa kau patut kata tadi?” terdengar bapanya menegur. Ketika itu aku sudah berjalan menuju ke kereta.

‘Comel jak bapa dengan anak jaga gerai kuih,’ gumamku dalam hati sambil tersengih sendirian.

Gambar ihsan Google

Kisah Bapa & Anak Dalam Al-Quran : Pelajaran Buat Kita

Teringat intipati perkongsian Ustaz Nouman Ali Khan dalam kupasan tafsir Surah al-Baqarah.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”

(Surah al-Baqarah, 2 : 127)

Kata Ustaz Nouman, salah satu pengajaran penting daripada ayat ini adalah bagaimana al-Quran menganjurkan agar para bapa melibatkan anaknya dalam aktiviti-aktiviti baik yang dilakukannya.

Pergi ke masjid, bawa sekali si anak ke masjid.

Terlibat dalam aktiviti da’wah atau kebajikan, bawa sekali anak menyertainya.

Kita boleh lihat bagaimana di dalam al-Quran dengan sengaja menyebut interaksi antara bapa-anak yang perlu dicontohi seperti Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.


Jika ingin dikaitkan dengan contoh terdekat dengan kita, lihat arwah Ahmad Ammar, yang kematiannya menjadi fenomena. Aku yakin, pengaruh bapanya, Ahmad Azam yang merupakan bekas presiden ABIM yang turut membentuk karakter dan cara fikir Ahmad Ammar.

Surah Al-Baqarah : Rentetan Kisah Orang Yahudi

Sedikit tambahan, dalam Surah al-Baqarah sebenarnya sarat dengan kisah berkenaan dengan orang Yahudi.

Sejarah mereka dengan Nabi Musa a.s. selepas terselamat daripada kezaliman Firaun di Mesir dan bagaimana sikap mereka selepas itu yang kufur nikmat dan melampaui batas terhadap para nabi dan dengan sengaja mencabar perintah Allah.

Apa yang menarik, Ustaz Nouman pasti membawa mereka yang mendengar bahawa jika diteliti perlakuan-perlakuan orang Yahudi terdahulu, apa yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam pada hari ini seperti tiada bezanya.

#
Allah berikan kaum Yahudi nikmat, tak syukur malah minta lebih lagi. (Surah al-Baqarah, 2 : 57 – 61)

Kita?

#
Allah perintahkan kaum Yahudi buat sesuatu, banyak soal pula (seperti mempertikaikan perintah Allah).

Allah memerintahkan kaum Nabi Musa a.s. untuk menyembelih seekor lembu betina tetapi mereka menyulitkan perintah Allah itu dengan persoalan-persoalan yang tidak perlu (Surah al-Baqarah, 2 : 67 – 71).

Kita?

#
Allah berikan kaum Yahudi kitab, mereka tak amalkan apa yang ada dalam kitab. Kedua, mereka tafsir kitab mereka agar sesuai dengan nafsu dan kepentingan peribadi mereka. (Surah al-Baqarah, 2 : 78 – 79)

Sounds familiar huh?

Seperti umat Islam kini, al-Quran tak dibaca. Sekadar menjadi penghias almari. Sekadar menjadi hantaran kahwin. Sekadar menjadi hiasan di dinding. Tetapi tak dibaca, tak difahami, tak diamalkan kandungannya.

Di sisi lain, “orang agama” mentafsir al-Quran sesuka hati.

Pabila ayat-ayat al-Quran ditafsir mengikut nafsu untuk menyebelahi kezaliman pemerintah dan demi menjaga periuk nasi mereka.

Pabila ayat al-Quran ditafsir mengikut nafsu untuk ‘menghalalkan’ penindasan ke atas wanita.

#
Kaum Yahudi mengabaikan banyak perintah Allah demi kesenangan dunia. Ada perintah Allah yang mereka turuti, ada yang mereka tinggalkan. Memilih-milih dalam mentaati perintah Allah. (Surah al-Baqarah, 2 : 85 – 86)

Kita?

Makan babi kita yakin haram, lalu kita tak makan babi. Tapi, rasuah yang haram, RIBA yang haram, kita buat tak peduli.

Kita masih guna perbankan konvensional untuk simpan duit. Kita tak mahu guna perbankan islamik untuk biaya kereta dan rumah kita. Katanya perbankan islamik ‘mahal’.

Kita solat, tapi kita tak mahu tutup aurat.

Kita puasa di bulan Ramadhan tapi kita tak solat 5 waktu sehari semalam.

Memilih-milih dalam melaksanakan perintah Allah. Bukankah kaum Yahudi terdahulu juga begitu?

Penutup

Kata Ustaz Nouman, al-Quran menceritakan dengan panjang lebar tentang karakter orang Yahudi agar kita sebagai umat Islam belajar dan tidak mengikuti sikap mereka terhadap hukum Allah.

Kata Ustaz Nouman, sebenarnya orang Yahudi zaman dahulu juga ‘orang Islam’ kerana mereka mendapat wahyu yang sama daripada Allah tetapi kerana keingkaran dan penyelewengan terhadap agama yang mereka lakukan, mereka menjadi kaum yang dimurkai oleh Allah.

Tentunya kita tidak mahu menjadi golongan yang mendapat kemurkaan Allah, bukan?

Kenangkan janji Allah, sebagai motivasi buat kita:

“…bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula BERUSAHA supaya BAIK amalannya,

maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”

(Surah al-Baqarah, 2 : 112)

 

Allahu’alam.

Nota kaki: kupasan tafsir Surah al-Baqarah oleh Ustaz Nouman Ali Khan boleh dimuat turun di sini [http://podcast.bayyinah.com/category/nouman-ali-khan/]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s